Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Tular Rakaman Keadaan Ribut & Angin Kencang Di Puncak Alam, Setia Alam

Hannah
ribut puncak alam
Gambar: Orang awam

Tular Rakaman Keadaan Ribut & Angin Kencang Di Puncak Alam, Setia Alam

Semalam, media sosial menjadi ‘kecoh’ apabila tular pelbagai rakaman video memaparkan kejadian ribut bersama angin kencang yang dipercayai melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas termasuklah Kuala Selangor, Meru, Shah Alam, Puncak Alam dan Setia Alam.

Dalam rakaman yang dikongsikan orang ramai, kedengaran jelas deruman angin kuat, menimbulkan suasana panik kepada mereka yang berada di lokasi.

Peniaga jalanan paling terkesan

Antara mereka yang terkesan dengan kejadian ini adalah para peniaga kecil serta penjaja jalanan yang mencari rezeki harian dengan membuka gerai di tepi jalan atau kawasan terbuka.

Dalam beberapa video yang tular di media sosial, kelihatan suasana huru-hara apabila khemah-khemah perniagaan diterbangkan angin kuat sehingga rosak teruk.

Dalam pada itu, ada juga peniaga yang berkongsi detik cemas apabila ribut dan angin kencang melanda premis perniagaan mereka.

Difahamkan, angin yang kuat menyebabkan pemilik premis dan pelanggan berlari untuk berlindung.

“Dah cuba berpaut tahan payung, tapi apakan daya. Angin ribut terlampau kuat, kami semua lari berlindung di sebalik kereta. Habis semua, payung khemah tak boleh guna.

“Waktu kejadian, Allah je tahu perasaan takut tu macam mana. Customer berlindung balik pokok, yang lain berlindung balik kereta.

“Kita anggap ni ujian, ada hikmah atas segala yang jadi,” luah peniaga.

https://www.facebook.com/reel/1216823276875781

Barangan jualan seperti makanan, minuman, pakaian, serta aksesori dilihat bertaburan di jalan raya, malah ada yang dipercayai tidak lagi boleh digunakan.

“Ribut kuat di Puncak Alam. Dugaan peniaga jalanan. Banyak barang rosak dan khemah pun tidak boleh digunakan lagi.

“Doakan kami dan peniaga lain kuat, semoga Allah bangkitkan semangat kami serta mewahkan rezeki kami untuk teruskan kehidupan seterusnya,” kongsi pengguna Facebook dipercayai peniaga.

https://www.facebook.com/reel/4247402978915793

Bagi peniaga kecil, kerugian sebegini bukan sesuatu yang kecil. Khemah dan meja yang digunakan bukanlah murah harganya.

Ada yang membeli dengan wang simpanan, ada pula yang mungkin membuat pinjaman kecil semata-mata untuk memulakan perniagaan.

Namun, dalam sekelip mata, semuanya musnah dibadai ribut.

Pokok tumbang & kejadian cemas

Selain peniaga, penduduk di beberapa kawasan lain juga berdepan insiden pokok tumbang yang berlaku akibat angin kencang.

Ada rakaman menunjukkan jalan raya yang terhalang oleh dahan besar, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan.

Menurut laporan media tempatan semalam, dua individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam dua kejadian berasingan melibatkan pokok tumbang malam tadi.

Peringatan kepada orang ramai

Sehubungan itu, penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap perubahan cuaca ekstrem. Orang ramai digalakkan untuk:

  • Mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca tidak menentu.

  • Sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca rasmi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

  • Memastikan keselamatan diri, keluarga serta harta benda terjamin.

Langkah berjaga-jaga amat penting bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan akibat objek diterbangkan angin atau pokok tumbang.

Dalam pada itu, ramai warganet menitipkan doa dan kata-kata semangat kepada mangsa yang terjejas, khususnya para peniaga kecil.

Semoga semua urusan dipermudahkan dan keselamatan penduduk setempat sentiasa dilindungi.

Kejadian ini juga diharap menjadi peringatan kepada semua tentang pentingnya bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca mendadak yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

BACA: Tular Fenomena Tiang Cahaya Hiasi Langit Bintulu

Sumber: Orang awam