Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan bahawa pesawat Bombardier CL-415MP milik agensi kini terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah di Sumatera, Indonesia.
APMM nafi bantu Indonesia padam kebakaran
Penjelasan itu dibuat susulan penularan rakaman video di media sosial yang memaparkan pesawat berkenaan dan dikaitkan dengan operasi water bombing bagi membantu menangani kebakaran di wilayah terbabit.
Menurut Maritim Malaysia, semakan mendapati rakaman yang tular itu sebenarnya merupakan video lama yang memaparkan penglibatan pesawat Bombardier CL-415MP dalam misi bantuan pemadaman kebakaran hutan di Sumatera pada 2015.
Agensi itu turut mengesahkan tiada pesawat Bombardier CL-415MP miliknya sedang diatur gerak atau melaksanakan operasi pemadaman kebakaran di Indonesia ketika ini.
Sebaliknya, aset udara berkenaan kini ditumpukan kepada penugasan serta pemantauan keselamatan perairan negara.
Orang ramai diminta semak kesahihan
Maritim Malaysia berkata sebarang laporan atau perkongsian yang memberi gambaran bahawa pesawat berkenaan sedang menjalankan operasi water bombing di Sumatera pada masa ini adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk media dan pengguna media sosial disaran menyemak kesahihan, tarikh serta konteks sesuatu rakaman sebelum menyiarkan atau berkongsinya bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Maritim Malaysia turut memaklumkan bahawa sebarang penugasan atau pengaturan gerak asetnya bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan atau pengurusan bencana di luar negara akan diumumkan melalui saluran rasmi sekiranya berkenaan.

