Sebanyak 4.6 juta liter air telah digunakan dalam operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah melalui udara di enam wilayah keutamaan di Indonesia, namun usaha berkenaan masih berdepan cabaran termasuk bentuk muka bumi yang sukar, bekalan air yang semakin berkurangan serta keadaan cuaca, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), lapor ANTARA.
4.6 Juta Liter Air Digunakan
Enam wilayah terbabit ialah Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan, Jambi dan Riau, kata Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Berton SP Panjaitan.
Beliau berkata kebakaran di kawasan tanah gambut sukar dipadamkan kerana memerlukan jumlah air yang banyak, selain sumber air yang semakin berkurangan dan terletak jauh dari sesetengah lokasi kebakaran.
Menurut Berton, keadaan cuaca dan iklim turut merumitkan operasi pemadaman dari udara, manakala jarak penglihatan yang terhad menjejaskan usaha anggota di lapangan.
“Kami terus berusaha walaupun berdepan kekurangan air, termasuk dengan menggerudi telaga dan membuka terusan bagi menyalurkan air ke kawasan titik panas kebakaran berdekatan,” katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata sebanyak 2,610 titik panas direkodkan di Kalimantan Barat, 2,110 di Kalimantan Tengah, 817 di Kalimantan Selatan, 1,438 di Sumatera Selatan, 225 di Riau dan 134 di Jambi.
Pihak berkuasa menggunakan dua kaedah bagi menangani kebakaran berkenaan, iaitu operasi darat dan udara, dengan operasi darat kekal sebagai pendekatan utama.
“Di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, anggota menjalankan pemeriksaan di lapangan, operasi pemadaman serta penyejukan di semua lokasi,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan keadaan cuaca, pihak berkuasa turut melaksanakan operasi pengubahsuaian cuaca bagi menggalakkan hujan turun di kawasan terjejas.
“Sejak semalam, hujan turun di beberapa daerah di Kalimantan Barat hasil daripada operasi pengubahsuaian cuaca,” katanya.
Berton turut menggesa penduduk yang terjejas akibat gempa bumi di Nusa Tenggara Timur serta kebakaran hutan dan tanah supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Patuhi arahan pegawai kerajaan dan anggota yang berada di lokasi. Jangan membakar tanah atau membuang sampah, dan jangan sesekali membuang puntung rokok merata-rata,” katanya.

