Presiden Indonesia Prabowo Subianto menegaskan larangan terhadap sebarang aktiviti pembukaan tanah dengan cara dibakar bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah (karhutla), lapor ANTARA.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa memperkukuh usaha memberi pendidikan kepada masyarakat serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan larangan berkenaan dipatuhi.
Larang pembakaran terbuka
“Berikan penjelasan bahawa membakar tanah adalah dilarang keras,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat terhad mengenai pengurusan karhutla di Posko Aju Provinsi Riau, Pekanbaru, hari ini.
Dalam kenyataan rasmi Sekretariat Presiden yang dipantau di Jakarta, Prabowo meminta semua pihak berkuasa memberikan penerangan kepada masyarakat di peringkat kampung mengenai larangan pembakaran tanah serta kesan yang boleh ditimbulkan.
Katanya, usaha itu penting bagi mencegah masyarakat daripada melakukan pembakaran secara sengaja atas apa jua alasan.
Menurut Prabowo, masyarakat yang memerlukan kawasan untuk dibuka boleh melaporkan keperluan itu kepada ketua kampung, camat atau bupati supaya kerajaan dapat membantu proses pembukaan tanah menerusi mekanisme yang teratur.
“Kalau mereka perlu buka tanah, mereka laporkan kepada ketua kampung, camat, bupati, nanti kerajaan yang akan bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) perlu membantu kerajaan wilayah memberikan pendampingan kepada masyarakat.
Katanya, pembukaan tanah boleh diurus secara berkumpulan melalui kelompok tani, manakala pembiayaannya boleh menggunakan mekanisme Kredit Usaha Rakyat (KUR) koperasi.
“TNI dan Polri akan membantu kerajaan wilayah, membantu rakyat. Diorganisasikan mengikut kelompok tani, nanti kosnya boleh melalui KUR koperasi, tetapi mereka tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.
Dalam pada itu, Prabowo mengarahkan tindakan tegas diambil sekiranya terdapat syarikat yang mengarahkan pembakaran tanah.
Beliau meminta Polis, Kejaksaan dan unsur perisikan menjalankan siasatan terhadap sebarang petunjuk penglibatan syarikat dalam kegiatan berkenaan.
“Siapa pun, apa juga syarikat, kalau ada sedikit petunjuk mereka turut menyuruh membakar, kita tarik balik izinnya. Semua izin syarikat itu kita tarik balik. Saya tidak main-main,” katanya.
Selain memperkukuh pendidikan dan penguatkuasaan, Prabowo turut mengarahkan tindakan awal diambil terhadap setiap titik panas (hotspot) supaya tidak berkembang menjadi kebakaran.
Beliau meminta pihak berkuasa segera ke lokasi yang dikenal pasti mempunyai hotspot serta menyediakan sumber air, termasuk melalui pembinaan telaga tiub.
“Jangan tunggu sehingga menjadi titik api. Tolong masuk ke hotspot itu dan segera ambil tindakan awal. Di tempat-tempat itu boleh dibina telaga tiub,” katanya.
Prabowo menegaskan usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan serentak bagi memastikan pengurusan karhutla tidak hanya tertumpu kepada pemadaman kebakaran, sebaliknya mencegahnya sejak tanda awal dikesan.

