Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Tun Adalah Pahlawan Buat Badminton Malaysia” - Lee Chong Wei

BADMINTON
Kredit: Facebook Lee Chong Wei

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali sebagai kehilangan besar buat badminton Malaysia, mengenang Allahyarhamah sebagai insan yang sentiasa memberikan sokongan dan kasih sayang kepada pemain negara.

Chong Wei berkata, bagi dirinya dan seluruh skuad badminton negara, Allahyarhamah bukan sekadar penaung, malah dianggap seperti seorang ibu yang sentiasa berada di sisi pemain ketika susah mahupun senang.

Kredit: Facebook Lee Chong Wei

Katanya, beliau masih teringat perbualan bersama Allahyarhamah ketika Malaysia Open pada awal tahun ini, apabila Tun Dr Siti Hasmah menyatakan hasrat untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain negara.

“Pagi tadi bila dapat berita Tun Dr. Siti Hasmah dah tak ada, terduduk kaku saya dibuatnya. Hati rasa betul-betul sedih dan sebak.

“Terus teringat masa Malaysia Open awal tahun hari tu. Bila berhubung dengan Tun, Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita.

“Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar. Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” katanya.

Menurut Chong Wei, bagi orang luar, Allahyarhamah mungkin dikenali sebagai isteri bekas Perdana Menteri, namun bagi warga badminton negara, beliau merupakan insan yang sangat dihormati serta menjadi tempat pemain menumpang kasih.

“Bagi orang luar, Tun adalah isteri bekas Perdana Menteri. Tapi bagi saya dan seluruh skuad badminton negara, Tun adalah seorang pahlawan, insan yang paling kami hormati dan tempat kami menumpang kasih,” ujarnya.

Kenangan Piala Thomas 1992

Chong Wei turut mengenang kisah kejayaan Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992, yang menurutnya sering diceritakan oleh pemain-pemain senior.

Katanya, Allahyarhamah sentiasa berada di sisi pasukan sebagai penaung dan amat terharu setiap kali mengenang kejayaan tersebut.

Kredit: Facebook Lee Chong Wei

“Pemain-pemain senior selalu cerita kisah kenangan kita juara Piala Thomas 1992. Tun setia di sisi pasukan sebagai penaung, dan setiap kali cerita pasal kejayaan itu, mesti bertakung air mata Tun,” katanya.

Sepanjang hampir 20 tahun kariernya dalam badminton, Chong Wei berkata, Allahyarhamah sentiasa memberikan sokongan tanpa mengira keputusan yang diraih pemain.

“Dalam tempoh hampir 20 tahun karier badminton saya, dari budak hingusan yang baru masuk skuad kebangsaan hinggalah bertanding di pentas dunia, Tun sentiasa ada.

“Kalah atau menang, sokongan dan kasih sayang Tun tak pernah putus,” katanya.

Jadi Pendamai Dalam Pasukan

Chong Wei berkata, Allahyarhamah turut melayan semua pemain seperti anak sendiri dan menjadi individu yang membantu mendamaikan perselisihan dalam pasukan.

“Tun layan kami semua macam anak sendiri. Bila ada perselisihan faham dalam pasukan, Tun jugalah yang mendamaikan dengan kelembutan dan kebijaksanaan.

“Kasih sayang Tun yang menyatukan kami, jadi benteng paling teguh untuk badminton Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyifatkan minat Allahyarhamah terhadap badminton sebagai satu inspirasi, termasuk kerana masih bermain sukan itu sehingga usia 75 tahun.

“Tun sendiri main badminton sampai umur 75 tahun. Minat dan kesetiaan Tun pada sukan ini betul-betul memberi inspirasi pada saya dan kami semua,” katanya.

Mengakhiri luahan penghargaan itu, Chong Wei mengucapkan terima kasih kepada Allahyarhamah atas segala jasa, kasih sayang dan kekuatan yang dicurahkan kepada dirinya serta badminton Malaysia.

“Tun Dr. Siti Hasmah, terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia. Terima kasih atas kasih sayang dan kekuatan yang Tun curahkan pada saya selama ini.

“Senyuman dan kehangatan kasih Tun akan sentiasa hidup di dalam gelanggang, dan di hati seluruh rakyat Malaysia.

“Berehatlah dengan tenang, Tun. Kami akan sentiasa merindui Tun,” katanya.

Intipati
  • Chong Wei menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai kehilangan besar badminton Malaysia.
  • Beliau berkata Allahyarhamah dianggap seperti ibu oleh pemain, bukan sekadar penaung pasukan.
  • Chong Wei mengenang sokongan Allahyarhamah sejak era Piala Thomas 1992 hingga kariernya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan