Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tun Faisal Cadang PAS Bentuk Gabungan Baharu

TUN FAISAL
Kredit: Bernama

Tun Faisal Cadang PAS Bentuk Gabungan Baharu

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Faisal Ismail Aziz berpandangan lebih wajar untuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membentuk gabungan baharu dengan menggunakan logo dan jenamanya sendiri.

Menurut beliau, Bersatu sebaliknya boleh kekal bersama Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti lain termasuk komponen dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Katanya, PAS merupakan sebuah parti besar yang mempunyai sumber kewangan lebih kukuh selain memiliki jumlah ahli dan jentera yang ramai.

“Sebab itu, sejak awal lagi saya berpandangan daripada terus-menerus cuba memaksakan kehendak PAS yang menjejaskan semangat setiakawan, permuafakatan dan kepentingan PN, lebih wajar PAS bergerak solo.

“Atau membentuk Muafakat Nasional bersama United Malays National Organisation seperti yang sering diulang oleh pemimpinnya, atau membentuk parti gabungan baharu bersama parti Wawasan yang masih belum diluluskan namanya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa PAS tidak komited dengan jenama PN selepas terlibat dalam beberapa rundingan yang didakwa membelakangkan gabungan itu termasuk Langkah Bangkok.

Beliau turut mendakwa PAS beberapa kali mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu.

Menurutnya, perkara itu pernah didedahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.

Tun Faisal berkata, di Kelantan dan Terengganu, PAS juga didakwa tidak menunjukkan kesetiaan terhadap jenama PN apabila menggunakan logo parti sendiri.

Katanya, situasi sama turut berlaku di Johor apabila Pesuruhjaya PAS Johor sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding menggunakan logo PAS.

Beliau mendakwa tindakan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu ketika PN sedang bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka adalah bertentangan dengan kepentingan gabungan tersebut.

“Jika benar khabar angin bahawa PAS telah mengadakan rundingan dengan UMNO dan tidak akan bertanding dalam PRN Johor serta ditawarkan kerusi ADUN lantikan selepas PRN, maka lebih baik PAS meninggalkan PN secara sukarela dan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Jika khabar angin ini benar, tidak wajar untuk PAS terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada PAS dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?” katanya.