Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberikan penjelasan segera berhubung penemuan 21 kecederaan pada tubuh Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia selepas berada dalam tahanan polis selama 11 hari.
Tun Faisal turut mempersoalkan perkembangan siasatan kematian Noorizwan pada 1 Oktober lalu selepas lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Katanya, pendedahan peguam keluarga mengenai kecederaan berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan individu dalam tahanan serta tanggungjawab pihak berkuasa.
“Pendedahan peguam keluarga mengenai kecederaan berkenaan amat mengejutkan dan timbul persoalan serius mengenai keselamatan individu dalam tahanan serta tanggungjawab pihak berkuasa.
“Sudah lebih 10 hari kematian Allahyarham berlalu, namun keluarga masih belum menerima penjelasan yang memuaskan mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 7 Oktober lalu, peguam Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kematian Noorizwan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Desakan itu dibuat susulan penemuan kecederaan serius pada tubuh Noorizwan yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober lalu.
Dalam perkembangan sama, Tun Faisal memaklumkan keluarga Allahyarham dijadual mengadakan himpunan aman pada Sabtu ini bagi menuntut keadilan serta mendapatkan penjelasan berhubung kematian berkenaan.
Beliau berharap pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan sewajarnya supaya keluarga tidak terus tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku ketika Noorizwan berada dalam tahanan.
“Kebenaran perlu ditegakkan dan keluarga berhak mendapat jawapan berhubung kematian Noorizwan,” katanya.


