Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

PUTRAJAYA, 14 Januari 2026 – TV AlHijrah hari ini secara rasmi melancarkan Wakaf Media, satu inisiatif yang menggabungkan konsep wakaf dengan medan dakwah dan penyiaran Islam bagi menyokong penyebaran ilmu serta pembangunan kandungan Islamik yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Everly Putrajaya telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dihadiri oleh Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris serta barisan tetamu kenamaan lain. Inisiatif Wakaf Media ini dilaksanakan oleh TV AlHijrah sebagai agensi pelaksana, dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bertindak sebagai rakan strategik dalam aspek pengurusan dana wakaf serta pematuhan tatakelola dan SOP wakaf.
Dalam ucapannya, Senator Dr. Zulkifli menegaskan bahawa wakaf merupakan amalan jariah yang walaupun kecil pada zahirnya, namun manfaatnya berpanjangan dan berterusan. Apabila wakaf dipadukan dengan medan dakwah dan penyiaran Islam, ia diibaratkan sebagai benih kebaikan yang akan terus bercambah hasilnya selagi mana ilmu disampaikan dan masyarakat dibimbing ke arah kebaikan.
Beliau turut menekankan bahawa dalam era ledakan maklumat dan cabaran digital yang semakin kompleks, media telah menjadi instrumen penting dalam membentuk pemikiran, nilai dan akhlak masyarakat. Justeru, penyiaran Islam berperanan memastikan mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah terus menjadi panduan kepada ummah.
Melalui pelaksanaan Wakaf Media, dana wakaf yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi membiayai penerbitan kandungan ilmiah Islamik, pembangunan aset serta fasiliti media penyiaran, dan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah bagi menjana manfaat wakaf yang berterusan.
Sebagai langkah permulaan, sebahagian dana Wakaf Media akan menyokong penerbitan dua program utama iaitu Quran@114 dan Hadis@114. Kedua-dua program ini bertujuan memperkenalkan keseluruhan 114 surah al-Quran dan 114 hadis terpilih secara sistematik, berperingkat dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Program Quran@114 bukan sekadar membacakan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi mengajak masyarakat memahami mesej, pengajaran dan hikmah di sebaliknya, manakala Hadis@114 pula menghubungkan masyarakat dengan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup yang menyeluruh dan relevan sepanjang zaman.
Dalam pelaksanaan Wakaf Media ini, Yayasan Waqaf Malaysia berperanan sebagai Pengurus Dana Wakaf, memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan patuh syariah, selaras dengan kerangka pentadbiran wakaf negara serta penyelarasan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku Pemegang Amanah Tunggal wakaf.
Senator Dr. Zulkifli turut mengumumkan pembukaan Tabung Dana Wakaf Media kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, serta menyeru penyertaan semua pihak termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan, usahawan dan orang awam untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha dakwah melalui wakaf, walaupun dengan sumbangan yang kecil.
Pelaksanaan Wakaf Media ini selari dengan agenda Malaysia MADANI, khususnya melalui pendekatan MADANI Membantu, yang memberi peluang kepada rakyat untuk menyokong pembangunan insan berteraskan ilmu, nilai dan ihsan melalui penyebaran al-Quran dan hadis sebagai amal jariah yang berterusan.
Inisiatif ini menegaskan peranan penyiaran Islam dalam membentuk pemikiran masyarakat, sejajar dengan fungsi TV AlHijrah sebagai saluran penyampaian mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah.