“Acara wajib setiap tahun”, itulah momen menarik yang mencuri perhatian ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Terengganu apabila sekumpulan peserta perbarisan bomba mengambil kesempatan bergambar bersama pendakwah, Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Menerusi video yang dikongsikan pengguna TikTok @fakri.hadi dan Ikhwannajmi hari ini, sekumpulan anggota kontinjen bomba Terengganu dilihat keluar daripada barisan sejurus selesai perarakan sebelum berlari mendapatkan UAI.
Dalam video berkenaan, UAI yang segak mengenakan jubah kelabu terlebih dahulu melambaikan tangan dan menyapa peserta perbarisan.
Tidak lama kemudian, pendakwah itu ‘diserbu’ sekumpulan anggota bomba yang mahu bergambar bersama sebagai kenangan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Lebih mencuit hati, UAI dilihat tenang dan mesra melayani kerenah anggota bomba berkenaan yang tidak melepaskan peluang merakamkan momen bersama.
Beliau turut dilihat berjabat tangan dan beramah mesra dengan peserta daripada kontinjen badan beruniform berkenaan.
Momen spontan itu kemudiannya menarik perhatian warga maya apabila video berkenaan dikongsikan semula di beberapa platform media sosial termasuk Threads, TikTok dan Facebook.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini berlangsung meriah di seluruh negara dengan pelbagai acara perarakan membabitkan badan beruniform, pasukan keselamatan serta aset pertahanan negara.
Namun, di sebalik kemeriahan perarakan, momen ringkas antara UAI dan anggota bomba Terengganu itu pula menjadi antara kenangan yang mencuri perhatian warga maya.

