Pemain yang membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) akan menerima tampalan khas bertulis 'debut' pada jersi mereka sepanjang musim 2026/27.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada perjanjian baharu antara UEFA dan Fanatics, dengan tampalan berkenaan dipasang pada bahagian lengan jersi pemain yang pertama kali beraksi dalam kejohanan berprestij Eropah itu.
UEFA perkenal 'Debut Patch'
Dikenali sebagai ‘Debut Patch’, ia menampilkan perkataan 'debut' yang digabungkan dengan logo ikonik starball Liga Juara-Juara UEFA.
Selepas perlawanan, tampalan tersebut akan ditanggalkan daripada jersi sebelum dihantar kepada Topps, syarikat kad dagangan milik Fanatics.
Ia kemudiannya akan digunakan untuk menghasilkan kad dagangan unik yang ditandatangani pemain terbabit. Setiap tampalan akan disahkan ketulenannya sebelum kad berkenaan dipasarkan kepada pengumpul.
Pemain yang diturunkan sebagai pemain gantian juga layak menerima tampalan itu sekiranya mereka membuat penampilan pertama dalam kejohanan berkenaan. Namun, mereka yang hanya disenaraikan dalam skuad perlawanan tanpa diturunkan perlu menunggu sehingga beraksi.
Kempen UCL 2026/27 akan bermula pada 8 September, dengan 36 pasukan bersaing dalam fasa liga kejohanan kelab utama Eropah itu.
Program berkenaan dijangka diperluaskan ke Liga Juara-Juara Wanita UEFA mulai musim 2027/28.
Inisiatif itu difasilitasi oleh Relevent Football Partners dan UC3, agensi jualan serta pemasaran global eksklusif UEFA.
Program berkenaan merupakan pengembangan inisiatif ‘debut patch’ Fanatics yang pada asalnya diperkenalkan dalam Major League Baseball sebelum diperluaskan ke beberapa sukan utama lain termasuk NFL, NBA, Bundesliga, Formula 1, MLS, UFC dan WWE.
Penyerang Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal, antara pemain yang memakai ‘debut patch’ ketika Piala Dunia FIFA pada musim panas ini.
Dalam perkembangan berkaitan, UEFA dan Fanatics dijangka mengumumkan lanjutan enam tahun bagi kerjasama sedia ada mereka, yang akan menyaksikan kedua-dua organisasi itu terus bekerjasama sehingga 2033.
Presiden UEFA, Aleksander Čeferin, berkata pembaharuan kerjasama tersebut mencerminkan hubungan kukuh antara kedua-dua organisasi serta komitmen mereka menghasilkan produk untuk peminat dan pengumpul di seluruh dunia.
Nilai kad berkenaan juga dijangka tinggi dalam kalangan pengumpul. Pada Mac 2025, kad ‘debut patch’ milik pitcher Pittsburgh Pirates, Paul Skenes, dijual pada harga AS$1.1 juta, sekali gus mencatat rekod bagi kategori tersebut.
The Athletic turut melaporkan kad ‘debut patch’ milik NBA Rookie of the Year, Cooper Flagg, bakal dilelong menerusi Fanatics Collect selepas pemiliknya menolak beberapa tawaran, termasuk daripada Dallas Mavericks serta tawaran bernilai jutaan dolar daripada pengumpul individu.
Beberapa pemain yang baru menyertai kelab masing-masing turut berpotensi menjadi antara penerima awal inisiatif itu musim ini.
Pemain baharu Real Madrid, Yan Diomande, yang menyertai kelab berkenaan dari RB Leipzig menerusi perpindahan dilaporkan bernilai €140 juta, merupakan antara pemain yang berpeluang membuat penampilan pertamanya dalam UCL.
Carlos Baleba dari Manchester United serta dua pemain Liverpool, Jérémy Jacquet dan Víctor Muñoz, juga berpotensi menerima tampalan berkenaan jika diturunkan buat kali pertama dalam kejohanan itu.
Berbeza dengan program UCL, tampalan debut Piala Dunia FIFA tidak akan tersedia kepada pengumpul sekurang-kurangnya sehingga 2031 susulan perjanjian sedia ada badan induk bola sepak dunia itu dengan Panini.
Versi UCL pula dijangka boleh diperoleh pengumpul pada musim ini menerusi kerjasama UEFA dan Fanatics.

