Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

UFC: McGregor Tumbang Dalam Tempoh 69 Saat
Conor McGregor gagal mencipta kebangkitan yang diimpikan apabila mengalami kecederaan lutut hanya 69 saat selepas pertarungan UFC 329 bermula di T-Mobile Arena, Las Vegas.
Insiden itu menyaksikan kemenangan diberikan kepada Max Holloway selepas pengadil menghentikan pertarungan lebih awal.
Untuk info, pertarungan itu merupakan penampilan pertama McGregor di pentas UFC sejak mengalami patah kaki ketika tewas kepada Dustin Poirier pada 2021.
McGregor memulakan pertarungan dengan agresif apabila melancarkan dua sepakan tinggi, namun kedua-duanya gagal mengenai sasaran.
Ketika cuba melakukan sepakan pertama, lutut kirinya dilihat gagal menampung pergerakan sehingga menyebabkan beliau terjatuh ke lantai gelanggang.
Walaupun berjaya bangun semula, bekas juara dua divisyen itu kelihatan tidak stabil sebelum pengadil Mike Beltran menghentikan pertarungan apabila McGregor terus terhuyung-hayang.
Holloway yang menyedari lawannya mengalami kecederaan tidak sempat mempamerkan kemampuan sebenar apabila pertarungan berakhir terlalu awal.
Kemenangan itu menyaksikan Holloway berjaya membalas kekalahan kepada McGregor pada pertemuan pertama mereka pada 2013. Ia sekali gus meningkatkan rekod kariernya kepada 28 kemenangan daripada 37 pertarungan.
Bagaimanapun, jaguh dari Hawaii itu mengakui kemenangan tersebut tidak memberikan kepuasan sepenuhnya. Beliau mahu menewaskan McGregor 'dengan betul' di dalam gelanggang.
"Anda semua bernasib baik kerana akan ada pertarungan ketiga antara Holloway dan McGregor.
"Saya akan berbincang dengan UFC. Sambutan terhadap pertarungan ini sangat besar dan kami perlu mengadakannya sekali lagi.
"Saya bekerja keras untuk bertarung pada berat 170 paun. Sangat mengecewakan apabila ia berakhir seperti ini," katanya selepas pertarungan.
Kekalahan itu merupakan yang ketujuh dalam karier McGregor dan keempat dalam lima pertarungan terakhirnya.
Sejak 2016, beliau hanya mencatat satu kemenangan dalam UFC. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya dalam sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA).
Sebelum UFC 329, McGregor turut berdepan pelbagai kontroversi di luar gelanggang.
Pada November 2024, beliau diperintahkan membayar ganti rugi dalam satu kes sivil selepas didapati bertanggungjawab atas serangan seksual terhadap seorang wanita.
Beliau juga menjalani penggantungan selama 18 bulan kerana melanggar dasar antidoping UFC selepas gagal menghadiri tiga ujian dadah dalam tempoh 12 bulan pada 2024. Penggantungan itu tamat pada Mac lalu.
Walaupun berdepan pelbagai kontroversi, pihak UFC tetap mempertaruhkan nama McGregor kerana percaya beliau masih mampu menarik perhatian peminat dan menjana keuntungan kepada organisasi.
UFC 329 juga menyaksikan Holloway membuat penampilan sulung dalam divisyen welterweight selepas sekian lama bertarung di featherweight dan lightweight.

Namun, kemenangan akibat kecederaan lawan itu gagal menjawab persoalan sama ada beliau benar-benar mampu bersaing dalam divisyen baharu tersebut.
Holloway kini mempunyai pilihan sama ada kekal di welterweight bagi membuka peluang kepada pertarungan trilogi menentang McGregor, atau kembali ke lightweight untuk memburu perebutan kejuaraan selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam divisyen itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Buat McGregor pula, kecederaan terbaharu ini menimbulkan tanda tanya sama ada bekas juara itu masih mampu meneruskan kariernya di pentas UFC atau sekali lagi terpaksa menangguhkan impian untuk kembali bersaing di tahap tertinggi.