Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai mengetahui manusia mempunyai empat kumpulan darah utama iaitu A, B, AB dan O.
Namun, sistem pengelasan darah sebenarnya jauh lebih kompleks, dengan kewujudan beberapa jenis darah yang sangat jarang ditemui.
Malah ada yang hanya dimiliki segelintir individu di dunia.
Seperti lelaki di Sarawak ini yang disahkan memiliki kumpulan darah paling jarang ditemui di dunia iaitu Bombay atau hh phenotype.
Menerusi perkongsian oleh Blood Bank Hospital Umum Sarawak, Mak Nyortes, 52, mengetahui beliau mempunyai darah Bombay pada November 2025 selepas menjalani ujian darah dan pemeriksaan lanjut di hospital.
Penemuan tersebut sekaligus membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dimaklumkan bahawa kumpulan darah ini amat jarang ditemui dan hanya boleh menerima transfusi darah daripada individu yang mempunyai kumpulan darah Bombay yang sama.
"Walaupun darah Bombay sangat jarang ditemui, saya berharap lebih ramai masyarakat memahami kepentingan pendermaan darah dan sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Lelaki Bidayuh yang berasal dari Kampung Bogag itu turut berharap kisahnya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendermaan darah secara berkala, di samping menggalakkan lebih ramai individu menjalani saringan darah yang lengkap.
Untuk pengetahuan, kumpulan darah Bombay merupakan kumpulan darah yang sangat unik kerana individu yang memilikinya tidak boleh menerima darah daripada kumpulan A, B, AB atau O.
Walaupun melalui ujian rutin mereka mungkin dikenal pasti sebagai kumpulan darah O, pemeriksaan makmal yang lebih khusus diperlukan untuk mengesahkan darah Bombay.

Menurut Hello Doktor, kumpulan darah ini pada mulanya dijumpai oleh Dr. Y. M. Bhende di Bombay (Mumbai) pada tahun 1952.
"Kumpulan darah jenis ini lebih banyak dalam kalangan rakyat di negara India. Di daerah Ratnagiri, 1 daripada 4,600 orang mempunyai darah jenis Bombay.
"Manakala, di Mumbai pula, 1 dalam 7,600 orang tergolong dalam kumpulan ini," kata Hello Doktor.
Di Malaysia pula, seramai 20 individu dianggarkan memiliki kumpulan darah Bombay, manakala di peringkat global hanya sekitar 4 juta orang mempunyai kumpulan darah ini.
"Justeru, kewujudan penderma darah Bombay yang berdaftar amat penting bagi memastikan bekalan darah yang serasi dapat disediakan sekiranya berlaku kecemasan atau pesakit memerlukan transfusi darah," jelas Blood Bank Hospital Umum Sarawak.
Orang ramai juga diseru untuk terus menyokong kempen pendermaan darah kerana setiap pendermaan berpotensi menyelamatkan nyawa.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan