Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Umrah 1000 Asnaf, Peluang Emas Buat Golongan Fakir Miskin

Azizah Najib
umrah 1000 asnaf 2025
Kredit: AirAsia

Umrah 1000 Asnaf, Peluang Emas Buat Golongan Fakir Miskin

Tatkala tiba di Kaunter Z16, KLIA Terminal 2, terlihat pelbagai riak yang terpampang di wajah sekumpulan para tetamu Allah ini. Ada yang tersenyum gembira, ada juga yang berjujuran air mata.

Bagi mereka yang sememangnya menyimpan harapan untuk terbang ke Tanah Suci tetapi tidak berkemampuan, tawaran menerima tajaan penuh ke sana umpama rembulan jatuh ke riba.

Semenjak 19 Mac yang lalu, kempen Umrah 1,000 Asnaf telah dilancarkan bagi memberi peluang kepada golongan asnaf fakir dan miskin menjejakkan kaki ke sana. Dengan sokongan data yang diperoleh daripada badan-badan zakat seluruh negara, golongan asnaf dapat dikenal pasti bagi menerima tajaan penuh menunaikan umrah.

Semalam, SK hadir ke Majlis Pelepasan Umrah 1,000 Asnaf yang diadakan di Balai Pelepasan KLIA Terminal 2. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato Setia Dr Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar hadir bagi menyempurnakan majlis.

Turut ada bersama, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.

Menurut Dr Mohd Na’im, beberapa siri pelepasan jemaah telah dijalankan dan sehingga kini, seramai 175 orang rakyat tempatan yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin telah berjaya dihantar menunaikan umrah.

Majlis berjalan dengan begitu lancar. Seusai sahaja sesi bergambar bersama Menteri, para jemaah kembali berada bersama keluarga masing-masing yang menemani.

Senyuman terukir menyahut panggilan ke Tanah Suci

Dari jauh, terlihat seorang warga emas berjubah putih, berdiri mendengar taklimat bersama kumpulannya dengan penuh khusyuk. Kegembiraan jelas terpancar di wajah ketika membelek barangan yang diterima.

Bekerja sebagai pengawal keselamatan, Jaidin Ali@Lagin yang kini mencecah usia 60 tahun seperti tidak percaya dikurniakan rezeki menunaikan umrah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur,” ucapnya ketika ditanya SK.

Jaidin merupakan salah seorang daripada 10 jemaah umrah tajaan ikhlas.com yang hadir pada majlis hari ini.

“Mula-mula terima panggilan daripada mereka, saya ragu-ragu. Bila tanya berkali-kali, baru percaya,” kongsinya.

Jaidin tidak keseorangan. Rupa-rupanya, ada juga jemaah yang meragui berita gembira ini sehingga menganggap panggilan yang diterima berkemungkinan tinggi daripada scammer.

Kasuma Mohd Yunus, berusia 61 tahun berkongsi kisahnya menerima panggilan tawaran menunaikan umrah menerusi kempen Umrah 1000 Asnaf ini.

“Dapat panggilan, saya terus beritahu anak dulu. Anak takut (panggilan) scammer, terus pergi dekat MAIWP tanya. Rupanya betul,” kongsinya.

Dengan nada yang sebak, Kasuma meluahkan rasa syukurnya mendapat jemputan Ilahi yang sudah lama diimpikan.

“Tuhan sahaja yang tahu, saya dah lama.. teringin nak ke sana,” ujar Kasuma.

Difahamkan, para jemaah ini bakal terbang ke sana pada 11 November nanti. Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan mereka di sana.

BACA: Usahasama ikhlas.com, Institusi Zakat Penuhi Keperluan Jemaah Umrah 1,000 Asnaf

BACA: Lebih 1,000 Termasuk Asnaf, Miskin Bandar Terima Manfaat Hasil Korban Dua Juara Lembu Sado

BACA: Gabungan IKB & KPBKL Tak Timbul Kos Tambahan, Fokus Perkasakan Pendidikan Asnaf