Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

UMT Wujudkan 12 Sekolah Angkat STEM

UMT
Kredit: Facebook Media UMT

UMT Wujudkan 12 Sekolah Angkat STEM

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan modal insan negara apabila mewujudkan rangkaian 12 Sekolah Angkat STEM bagi memperluaskan usaha membudayakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam kalangan pelajar sekolah.

Inisiatif itu dimeterai menerusi Majlis Pewatikahan Sekolah Angkat STEM UMT yang berlangsung sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival 25 Tahun UMT bersempena Sambutan Jubli Perak universiti berkenaan di Dewan Sultan Mizan, semalam.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama strategik antara universiti dan sekolah merupakan langkah penting dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai pengetahuan, kemahiran serta minat mendalam dalam bidang STEM.

Menurut beliau, usaha itu selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.

“Majlis pewatikahan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat antara UMT dan sekolah dalam membangunkan bakat muda negara.

“Saya yakin kedua-dua pihak akan mendapat manfaat bersama menerusi pelbagai program akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan pelajar yang bakal dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival 25 Tahun UMT yang berlangsung selama empat hari bermula 25 Jun lalu.

Katanya, sebagai universiti yang menerajui agenda ekonomi biru negara, UMT bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat masa depan melalui kerjasama bersama sekolah, komuniti, industri dan agensi kerajaan.

Menurutnya, sepanjang 25 tahun penubuhannya, UMT telah berkembang daripada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) kepada sebuah universiti berimpak global yang menerajui bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan.

Beliau berkata, perkembangan tersebut turut didorong pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang membuktikan kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan dan kelestarian.

Antara pencapaian terkini UMT ialah berada pada kedudukan 701 hingga 710 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings selain melonjak ke kelompok 201 hingga 300 dunia dalam Times Higher Education Impact Rankings.

UMT turut memperoleh penarafan lima bintang MyMOHES bagi kategori kualiti data dengan skor penuh 100 peratus bagi tahun 2025.

Tambah beliau, sambutan ulang tahun ke-25 UMT akan diteruskan sepanjang tahun ini menerusi pelbagai program yang bukan sahaja meraikan sejarah penubuhan universiti, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing, berimpak antarabangsa dan dekat dengan masyarakat.

Sumber:Media UMT