Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Uni Enrol Dilantik Sebagai Rakan Strategik JPN Perak Untuk Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026

ENROL

Uni Enrol Dilantik Sebagai Rakan Strategik JPN Perak Untuk Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026

Dalam usaha strategik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi, Uni Enrol telah dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sebagai rakan strategik rasmi bagi pelaksanaan Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026 iaitu satu inisiatif negeri yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi. 

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah, sekali gus menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memupuk bakat masa depan serta memastikan setiap pelajar yang layak berpeluang melanjutkan pengajian tanpa dibatasi kekangan kewangan.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh kerabat dan wakil Istana Perak, iaitu Yang Mulia Raja Khalidatul Asrin binti Raja Dato' Shahabuddin serta Pengarah Muzik Raja DiHilir Perak, Tuan Ahmad Suhaimi bin Dato' Idris, yang mencerminkan kepentingan inisiatif ini di peringkat negeri dan komuniti. 

“Pendidikan kekal sebagai antara pelaburan paling penting untuk masa depan Perak. Menerusi Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026, Uni Enrol bersama rakan universiti strategik menyediakan bantuan kewangan tanpa pinjaman bagi membantu pelajar yang layak merealisasikan aspirasi mereka serta melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Malaysia,” kata YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah. 

Merapatkan Jurang Akses Pendidikan untuk Pelajar Perak 

Sebagai rakan strategik rasmi, Uni Enrol menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar yang layak, yang merangkumi proses permohonan, khidmat nasihat dan penempatan di universiti, bagi membantu mereka membuat keputusan lebih yakin tentang masa depan mereka. 

Program ini dijangka menawarkan 120 biasiswa dengan nilai keseluruhan RM2 juta. Melalui inisiatif ini, pelajar akan dihubungkan dengan rangkaian 11 universiti di bawah Uni Enrol, sekali gus membuka akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti di seluruh Malaysia

Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026 mendapat sokongan daripada HELP University, IMU University, SEGi University & Colleges, Multimedia University (MMU), Universiti Tunku Abdul Rahman, First City University College, Forward College, Heriot-Watt University, Asia Pacific University of Technology & Innovation serta Dasein Academy of Art. 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw berkata, “Di Uni Enrol, kami percaya pemilihan universiti bukan sekadar soal akses, tetapi membuat pilihan terbaik untuk masa depan. Sebagai rakan biasiswa rasmi, kami komited membimbing pelajar di setiap peringkat, supaya mereka bukan sahaja memperoleh peluang, malah mempunyai kejelasan dan keyakinan dalam menentukan laluan yang benar-benar sesuai.” 

Walaupun program ini memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga B40, biasiswa ini terbuka kepada semua pemohon yang layak, sama ada cemerlang dalam akademik, sukan atau berdepan cabaran peribadi. Inisiatif ini berasaskan kepercayaan bahawa bakat wujud di mana-mana, dan setiap individu berhak mendapat akses yang sama kepada peluang pendidikan. 

Perkembangan Program dan Proses Pemilihan

Biasiswa ini telah diluluskan dan dilancarkan lebih awal (soft-launch) pada hari pengumuman keputusan SPM. Sehingga kini, Uni Enrol telah menerima lebih 800 permohonan, dengan senarai 30 finalis terbaik diumumkan hari ini. Seterusnya, proses temu duga dan pengesahan akan dijalankan bagi memilih 20 penerima biasiswa penuh, manakala calon-calon selebihnya akan ditawarkan biasiswa sebanyak 50%, dengan sehingga 100 anugerah biasiswa disediakan. 

Kerjasama Strategik untuk Impak Jangka Panjang 

Program biasiswa ini berlangsung selama tiga tahun, mencerminkan komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri Perak dan Uni Enrol dalam memupuk bakat muda tanpa terhad kepada bantuan kewangan. Ia turut memperkasa pelajar melalui bimbingan, sokongan dan peluang berterusan bagi memastikan kejayaan dalam pendidikan tinggi serta kehidupan selepas pengajian. 

Program Biasiswa Potensi Anak Perak 2026 terbuka kepada pelajar yang memenuhi syarat berikut: 

  • Menduduki peperiksaan SPM di sekolah di Perak

  • Lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah

  • Memenuhi syarat merit dan kelayakan yang ditetapkan 

Melalui kerjasama ini, Uni Enrol dan Kerajaan Negeri Perak berharap dapat mencipta impak jangka panjang dengan memperkasa pelajar dengan sokongan kewangan dan bimbingan yang berkesan. Dalam usaha mencapai lebih RM100 juta jumlah kumulatif biasiswa yang disalurkan kepada pelajar Malaysia, Uni Enrol terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pendidikan yang dipercayai serta komited membantu generasi muda merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.