Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Unibet Rose Rockets Sasar Impak Lebih Besar Pada LTdL26

UNIBET
Kredit: Cyclingflash

Selepas mencatat satu kemenangan peringkat pada edisi tahun lalu, pasukan ProTeam Perancis, Unibet Rose Rockets, dilihat berpotensi mencipta impak lebih besar pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermula 27 September ini.

Barisan enam pelumba yang diketuai pengurus Joram Grootveld kali ini menampilkan empat pelumba berkemampuan di laluan mendaki selain dua pakar pecut, sekali gus memberi gambaran bahawa sasaran pasukan itu lebih besar berbanding kemenangan peringkat yang diraih Zeb Kyffin pada Peringkat 7 LTdL tahun lalu.

Mengetuai cabaran Unibet yang menduduki tangga kedua keseluruhan tahun lalu ialah pelumba Norway berusia 24 tahun, Cedrik Bakke Christophersen, yang menamatkan LTdL25 di tempat kelima keseluruhan.

Turut menjadi sandaran ialah pelumba kelahiran Belanda berusia 25 tahun, Owen Geleijn, yang menduduki tempat ke-22 keseluruhan pada edisi lalu.

Pengalaman mereka di LTdL25 bakal diperkukuh pelumba Jerman berusia 25 tahun, Peter Jannis dan pelumba Norway berusia 23 tahun, Eivend Broholt Fougner, terutama dalam menghadapi laluan pendakian.

Sementara itu, dua pakar pecut pasukan berkenaan ialah pelumba Ireland berusia 31 tahun, Rory Townsend dan pelumba muda Perancis berusia 22 tahun, Ronan Auge, yang dilihat mampu mencipta kejutan di laluan landai.

Bagaimanapun, senarai pelumba simpanan Unibet turut mencuri perhatian apabila menampilkan nama berpengalaman, Wout Poels, 38, yang pernah meraih kemenangan peringkat di Tour de France 2023 dan Vuelta a Espana 2023.

Seorang lagi pendaki handalan dari Czech, Adam Toupalik, turut berada dalam senarai berkenaan, sekali gus membuka kemungkinan perubahan barisan pada saat-saat akhir.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, senarai pelumba yang dikemukakan Unibet kali ini dilihat lebih menjurus kepada cabaran tiga peringkat pendakian ke puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Pasukan ini pasti membuat ‘kerja rumah’ lebih awal sebelum memutuskan siapa pelumba yang mahu dihantar ke LTdL26 ini kerana ia berbeza dengan hanya satu pendakian agak mudah ke Bukit Fraser pada tahun lalu.

“Nama Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan itu mengesahkan mereka serius untuk mencipta impak lebih besar kali ini kerana Poels yang berpengalaman bersama pasukan WorldTeam Vacansoleil sejak 2011, sebelum menyertai Sky, Bahrain Merida dan Astana serta mengumpul 26 kemenangan dalam kariernya adalah nama besar dan dikesani di pentas antarabangsa.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan jika Unibet memutuskan untuk menyenaraikan Poels pada saat-saat akhir selepas melihat bentuk laluan kali ini serta nama pencabar-pencabar pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Christophersen yang hanya ketinggalan 11 saat daripada juara LTdL25, Joris Delbove dari TotalEnergies, turut berada pada prestasi baik selepas meraih kemenangan peringkat di Arctic Race of Norway bulan lalu selain menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan.

Selain Christophersen, Fougner turut dilihat sebagai calon untuk mencabar klasifikasi keseluruhan (GC) selepas menduduki tempat ke-14 keseluruhan Tour of Sibiu dan muncul naib juara dalam klasifikasi Raja Bukit Tour de l'Ain pada Julai lalu.

Jannis yang menyertai Unibet tahun ini pula mencatat keputusan tempat kelapan di Tour of Sibiu dan diharap mampu membawa pengalamannya bersama pasukan Vorarlberg yang pernah meraih kemenangan peringkat di Tour of Czech dan Oberosterreich tahun lalu.

Bagi Townsend dan Auge pula, kedua-duanya bukan sahaja berperanan sebagai pembantu pada peringkat awal pendakian, malah dilihat mampu bersaing dengan pakar pecut pasukan lain di penamat laluan landai.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan membuka tirai menerusi Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini sebelum berakhir dengan Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober.

Keseluruhan perlumbaan edisi ke-30 itu membabitkan jarak sejauh 1,285.5 kilometer.

LTdL26 dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Intipati
  • Unibet Rose Rockets membawa enam pelumba, termasuk empat pendaki dan dua pakar pecut.
  • Cedrik Bakke Christophersen mengetuai cabaran selepas menduduki tempat kelima keseluruhan LTdL25.
  • LTdL26 bermula 27 September, membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan