Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

UniSZA Lonjak 40 Anak Tangga, Hampiri Kelompok 100 Terbaik Dunia

Gambar: BERNAMA

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatat lonjakan membanggakan dalam agenda kelestarian global apabila naik 40 anak tangga ke kedudukan ke-109 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026, berbanding kedudukan ke-149 pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu meletakkan UniSZA hanya sembilan anak tangga daripada kelompok 100 universiti paling lestari di dunia, dalam penarafan yang tahun ini melibatkan 2,016 institusi dari seluruh dunia.

Di peringkat Asia, UniSZA turut mencatat peningkatan ketara apabila melonjak daripada kedudukan ke-80 pada 2025 kepada ke-57 pada 2026. Di Malaysia pula, UniSZA mengekalkan kedudukan ke-9 daripada 1,249 institusi yang tersenarai dalam UI GreenMetric 2026, sekaligus menempatkan universiti itu dalam kelompok institusi terbaik negara dalam prestasi kelestarian.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, berkata pencapaian itu membuktikan usaha memperkukuh agenda kelestarian universiti semakin membuahkan hasil, didorong oleh komitmen bersama seluruh warga universiti.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam

“Lonjakan daripada kedudukan ke-149 kepada ke-109 dunia bukan sekadar satu pencapaian dalam penarafan, tetapi mencerminkan usaha dan komitmen bersama seluruh warga UniSZA.

“Bagi UniSZA, kelestarian bukan hanya tentang kedudukan atau angka. Apa yang lebih penting ialah bagaimana prinsip kelestarian diterjemahkan dalam pembangunan universiti, pengurusan kampus, pendidikan, penyelidikan, inovasi serta hubungan kita dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, UniSZA akan terus memperkukuh agenda kelestarian sebagai sebahagian daripada ekosistem universiti, merangkumi pembangunan kampus, pendidikan, penyelidikan dan inovasi serta keterlibatan dengan masyarakat, selain menggalakkan penglibatan aktif seluruh pusat tanggungjawab (PTj), warga akademik, pentadbiran dan pelajar.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan juga mencerminkan usaha universiti menjadikan pembangunan mampan sebahagian daripada amalan dan pengurusan institusi, bukan sekadar pencapaian dalam penarafan.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Lestari UniSZA, Prof. Madya Dr. Azman Azid, berkata peningkatan kedudukan tersebut turut disokong oleh kenaikan skor keseluruhan universiti daripada 8,400 mata pada 2025 kepada 8,587.5 mata pada 2026, iaitu peningkatan sebanyak 187.5 mata.

Beliau berkata, pencapaian itu memberikan asas kukuh untuk UniSZA terus memperbaiki prestasi melalui tindakan berimpak tinggi, pengukuhan eviden dan pengurusan data yang lebih sistematik.

“Kita bukan sekadar mahu mengumpul mata, tetapi mahu setiap inisiatif kelestarian membawa perubahan yang boleh dilihat dan diukur,” katanya.

Menurutnya, perkembangan penilaian yang turut merangkumi aspek Governance & Digitalization menunjukkan agenda kampus lestari kini semakin luas, melibatkan tadbir urus, pengurusan data dan penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab.

UI GreenMetric World University Rankings menilai prestasi institusi melalui aspek utama termasuk infrastruktur, tenaga dan perubahan iklim, sisa, air, pengangkutan, pendidikan dan penyelidikan, selain perkembangan baharu dalam tadbir urus dan pendigitalan.

Pencapaian itu memperkukuh kedudukan UniSZA dalam landskap kelestarian pendidikan tinggi global serta memperlihatkan komitmen universiti untuk menjadikan pembangunan mampan sebahagian daripada tadbir urus, pendidikan, penyelidikan dan inovasi, pendigitalan, operasi kampus serta keterlibatan komuniti.