Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila disenaraikan di kedudukan ke-158 dunia dalam QS World University Rankings 2027.
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan UTM dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, universiti itu telah melonjak sebanyak 200 anak tangga sepanjang tempoh 14 tahun, daripada kedudukan ke-358 pada tahun 2013 kepada ke-158 pada tahun 2027.
Menurut UTM, pencapaian berkenaan mencerminkan kemajuan berterusan universiti itu serta pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap peranannya sebagai universiti penyelidikan bertaraf global dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan seni bina.
“QS World University Rankings 2027 menilai sebanyak 8,808 institusi di seluruh dunia dengan hanya 1,504 institusi berjaya tersenarai, sekali gus menggambarkan tahap persaingan yang amat tinggi dalam landskap pendidikan tinggi global,” menurut kenyataan itu.
UTM berkata, universiti berkenaan terus mencatat prestasi kukuh dalam beberapa indikator utama yang menjadi penanda aras reputasi universiti di peringkat antarabangsa.
Antaranya termasuk reputasi akademik, nisbah pensyarah kepada pelajar, sitasi per fakulti, pelajar antarabangsa dan kelestarian.
Menurut kenyataan itu, UTM turut merekodkan peningkatan ketara dalam indikator pensyarah antarabangsa apabila naik sebanyak 35 anak tangga.
Katanya, peningkatan itu merupakan lonjakan terbesar antara semua indikator QS dan mencerminkan keupayaan UTM menarik bakat akademik dari luar negara.
Selain itu, indikator sitasi per fakulti turut meningkat sebanyak 10 anak tangga, sekali gus menggambarkan impak global penyelidikan UTM yang semakin berkembang.
UTM juga berada di kedudukan ketiga terbaik di Malaysia bagi indikator tersebut, mengukuhkan statusnya sebagai antara universiti penyelidikan utama negara.
Sementara itu, indikator pelajar antarabangsa meningkat sebanyak lapan anak tangga, menunjukkan daya tarikan UTM yang semakin kukuh sebagai destinasi pendidikan global.
Setakat ini, UTM mempunyai lebih 5,700 pelajar antarabangsa dari lebih 80 negara, sekali gus membentuk komuniti akademik yang pelbagai dan berhubung di peringkat antarabangsa.
Dalam kalangan 32 institusi pengajian tinggi Malaysia yang tersenarai dalam QS World University Rankings 2027, UTM turut berada di kedudukan ketiga terbaik negara bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa.
Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, pencapaian itu membuktikan dedikasi, kesungguhan dan kecemerlangan seluruh warga universiti tersebut.
“Peningkatan sebanyak 200 anak tangga sepanjang 14 tahun serta kedudukan dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia mencerminkan reputasi global, impak penyelidikan dan penglibatan antarabangsa UTM yang semakin kukuh.
“UTM komited untuk terus memajukan ilmu pengetahuan serta menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian lestari yang mampu menangani cabaran dunia sebenar,” katanya.