Umum telah mengetahui bahawa untuk membina suatu bangunan itu, pastinya akan mengambil masa yang lama.
Biasalah, bukan senang nak bina. Macam-macam proses perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sesuatu bangunan itu nak dibangunkan.
Namun, lain pula ceritanya di negara China ini. Sebuah syarikat China yang bernama Broad Group dilaporkan telah berjaya membina sebuah rumah apartment 10 tingkat dalam masa 28 jam dan 45 minit sahaja.
Bangunan 10 tingkat itu dilaporkan dibina dengan menggunakan sistem pembinaan pasang siap. Salah satu perkara menarik mengenai sistem ini adalah setiap modul bangunan tersebut mempunyai saiz yang sama dengan kontena penghantaran ketika ianya dilipat, ini menjadikannya sangat mudah untuk diangkut ke mana saja di dunia dengan menggunakan kaedah penghantaran yang sedia ada.
Setiap modul tersebut dibuat di kilang dan terdiri daripada struktur keluli tahan karat terutamanya yang merangkumi sistem pendawaian, penebat, kaca dan pengudaraan (Broad Group juga merupakan pakar pengudaraan).
Oleh itu, secara ringkas, idea asasnya adalah anda akan membawa sejumlah modul yang berukuran kontena ke tapak pembinaan dan terus memasangnya seperti bongkah Lego. Para pekerja hanya tinggal mengetatkan skru, menyambung paip air dan memasang bekalan elektrik sahaja.
Dalam video tersebut, dapat dilihat bahawa Broad Group cuma menggunakan tenaga kerja yang sedikit sahaja. Selainnya dibantu oleh tiga kren untuk mempercepatkan dan menyelesaikan pembinaan tersebut mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.
Apa yang lebih menarik lagi berkenaan bangunan ini adalah, Broad Group menyatakan bahawa sistem yang mereka gunakan ke atas bangunan ini juga tahan lama, tahan kepada bencana gempa bumi dan ribut taufan serta mudah untuk dipindahkan jika perlu.
Syarikat itu juga menyatakan bahawa ianya boleh digunakan untuk membuat bangunan tinggi, asrama, hotel, hospital dan banyak lagi.
Tak hanya itu, syarikat tersebut juga berpendapat bahawa sistem ini boleh digunakan untuk membangunkan bangunan setinggi 200 tingkat.
Setiap unit rumah yang dibina oleh syarikat itu dalam video tersebut mempunyai keluasan sebanyak 2884 kaki persegi dengan hanya menelan kos pembinaan keseluruhan sebanyak $2.948 juta (RM 12.21 juta) sahaja tanpa kos pengangkutan.
Dapat Hadiah Percuma Sampai RM598, Ni Antara ‘Laptop’ Terbaik Tahun 2021 Bateri Tahan Sampai 19 Jam