Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

(Video) Panggil ‘Mawar’ Je Terus Datang, Kisah Pak Cik Ini ‘Jinakkan’ Dugong Di Laut

Memang wujud di dunia ini sesetengah individu yang dikatakan mampu berkomunikasi secara langsung dengan haiwan. Mungkin bagi kita perkara ini sangat janggal, tapi tidak dapat dinafikan, mungkin itulah kelebihan yang diberi Tuhan.

Ada orang boleh bercakap dengan anjing, ada orang boleh bercakap dengan ikan, ada orang boleh bercakap dengan gajah. Menariknya, walaupun bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu, namun haiwan-haiwan itu masih mampu memahaminya.

Begitulah seperti yang dikongsikan dalam video ini. Seorang ‘pak cik’ pengendali bot pelancong di Pulau Alor, Indonesia yang mesra dipanggil Pak One dikatakan boleh berkomunikasi dengan dugong di perairan tersebut.

Difahamkan, dugong yang diberi nama Mawar itu akan datang kepadanya setelah ‘diseru’. Macam ajaib kan? Pak One memaklumkan bahawa dirinya seolah-olah ada ‘ikatan’ batin dengan dugong tersebut.

Kredit: Daily Voyagers

Macam mana boleh kenal Mawar?

Pak One atau nama sebenarnya Onesimus Laa berhijrah ke tempat asalnya di Alor (berdekatan dengan Timor Leste) pada hujung 90-an lalu setelah berkelana di Jakarta hampir 20 tahun bersama isteri dan anaknya.

Ketika ‘mula-mula’ hidup di pulau itu dengan berbekalkan RM87 sahaja, dia berhasrat ingin ‘menghijaukan’ Alor dengan menanam pokok bakau sebanyak mungkin, khususnya di kawasan sekitar Pantai Mali dan Pulau Sikka.

Usahanya itu mendatangkan hasil kepada nelayan tempatan kerana pokok bakau yang hidup ‘rancak’ di situ telah menstabilkan ekosistem hidupan laut, sekaligus menjadikan perairan di sekitar Alor menjadi kaya dengan biodiversiti.

Sehinggalah pada 2007, ketika Pak One menuju ke Pulau Sikka dengan menaiki botnya, tiba-tiba didapati ada seekor dugong berenang mengikutinya. Sekembalinya ke Pantai Mali juga, dugong itu turut ‘menemannya’.

Bukan sekali dua, malah banyak kali berlaku perkara yang sama. Menyedari dugong itu sangat ‘akrab’ dengannya, Pak One tekad membawanya pulang ke rumahnya di Pulau Sikka. Akhirnya dia menamakan dugong itu sebagai Mawar.

Gambar: TikTok

Jasa Pak One pada laut & dugong

Merujuk pendapat yang ditulis oleh penulis asal di Daily Voyagers, antara sebab kenapa Mawar begitu rapat dan sayang dengan Pak One adalah kerana jasa lelaki itu yang memulihkan semula sumber makanannya.

Ini adalah kerana pokok-pokok bakau yang ditanam sepanjang perairan itu telah menyebabkan Lamun (sejenis rumput laut & antara makanan dugong) tumbuh segar. Sebab itulah Mawar dianggap sangat ‘terhutang budi’ dengan Pak One.

Setelah 11 tahun tinggal dan membesar di bawah jagaan Pak One, akhirnya Mawar datang membawa cinta hatinya, seekor dugong betina dan memperkenalkannya kepada Pak One.

Berikutan ‘restu’ dengan hubungan mereka, Pak One menamakan dugong betina itu dengan nama Si Cantik. Mawar dan Cantik akhirnya mengawan dan melahirkan seekor anak.

Persahabatan Pak One dan Mawar ini kekal akrab hingga ke hari ini. Kisah mereka juga pernah ditulis dalam beberapa media Indonesia beberapa tahun dahulu.

Kini, Pak One masih ‘setia’ dengan kerja-kerja konservasinya terhadap tumbuhan bakau, rumpai laut dan perikanan. Malah gara-gara Mawar, Pulau Alor telah berubah menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong.

Setiap kali Pak One membawa pelancong mengembara di sekitar perairan ini, pasti dia akan berkongsi kepada mereka tentang kepentingan pokok bakau, biodiversiti laut, rumpai air, ikan dan sebagainya.

Malah di samping itu, Pak One juga pasti akan menyeru nama Mawar ketika sedang memandu bot sehinggalah haiwan itu muncul permukaan air dan mengikutinya.

Mari ikuti video yang dikongsikan di bawah ini. Dengar betul-betul, Pak One ada memanggil ‘Mawar’. Comel kan?

Sumber: TikTok / Daily Voyagers