KUALA LUMPUR, 24 September 2026 – Semasa lawatan kerja Setiausaha Agung dan Presiden Vietnam, To Lam, ke Amerika Syarikat, Vietjet bersama syarikat-syarikat kumpulannya, Galaxy Holdings dan Galaxy Telecom, telah menandatangani perjanjian dengan Starlink, perkhidmatan internet satelit yang dibangunkan dan dikendalikan oleh SpaceX, bagi menyediakan Wi-Fi berkelajuan tinggi secara percuma kepada penumpang dalam penerbangan Vietjet. Perjanjian ini menandakan satu pencapaian baharu dalam kerjasama teknologi penerbangan antara Vietnam dan Amerika Syarikat, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan bagi penumpang Vietjet di seluruh rangkaiannya, termasuk penerbangan antara Malaysia dan Vietnam.
Perjanjian dengan Starlink perkukuh kesalinghubungan digital Vietjet
Pada peringkat awal, Starlink akan dipasang pada 120 pesawat Vietjet, termasuk 100 pesawat Airbus A321/Boeing 737 dan 20 pesawat Airbus A330. Vietjet juga merancang untuk melengkapkan semua pesawat baharu yang diterima pada masa hadapan dengan kemudahan internet berkelajuan tinggi, sekali gus memperluaskan kesalinghubungan di seluruh rangkaian domestik dan antarabangsa Vietjet.
Dengan sambungan berkelajuan tinggi dan latensi rendah serta liputan di kawasan lautan, wilayah kutub dan kawasan terpencil, Starlink akan membolehkan penumpang bekerja, kekal berhubung, menstrim kandungan hiburan dan mengakses kandungan dalam talian sepanjang perjalanan mereka. Vietjet menyasarkan agar Wi-Fi berkelajuan tinggi dalam penerbangan tidak lagi dianggap sebagai kemudahan premium, sebaliknya menjadi perkhidmatan digital penting yang boleh diakses secara meluas dalam perjalanan udara.
Dr. Nguyen Thi Phuong Thao, Pengerusi Vietjet, berkata: “Dengan Starlink, berada di udara tidak lagi bermakna terputus hubungan. Penumpang Vietjet akan dapat terus berhubung sepanjang perjalanan mereka – sama ada untuk bekerja, menikmati hiburan atau berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan. Ini mencerminkan komitmen berterusan Vietjet terhadap inovasi serta aspirasi kami untuk membolehkan lebih ramai orang menikmati teknologi termaju..”

“Pengenalan Starlink di Vietjet akan memperluas lagi perkhidmatan pantas dan boleh dipercayai yang kini menghubungkan kediaman serta perniagaan di Vietnam,” kata Tim Hughes, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Perniagaan dan Kerajaan Global di SpaceX. “Kami teruja untuk menyediakan pengalaman kesalinghubungan ini kepada Vietjet dan para pelanggannya, menjadikan setiap perjalanan lebih baik, lancar dan menyeronokkan.”
Bagi penumpang Malaysia yang melancong ke Vietnam, pelaksanaan Starlink akan memberikan lebih kemudahan kepada penumpang sepanjang penerbangan, membolehkan mereka kekal berhubung bagi urusan kerja, hiburan atau peribadi sepanjang perjalanan. Vietjet kini mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Hanoi dan Ho Chi Minh City, sekali gus menghubungkan pelancong Malaysia dengan rangkaian antarabangsa Vietjet yang semakin berkembang.”
Perjanjian Starlink ini menandakan permulaan kerjasama teknologi jangka panjang antara Vietjet dan SpaceX. Dengan armada moden serta pelaburan berterusan dalam data, kecerdasan buatan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, Vietjet sedang membangunkan ekosistem penerbangan digital yang memastikan jutaan penumpang terus berhubung dengan dunia sepanjang perjalanan mereka.
