Setiap kali berkunjung ke pusat beli-belah dengan isteri, ada banyak persediaan yang suami kena buat terutamanya daripada segi mental, fizikal dan sudah tentu bateri telefon, kan?
Kenapa? Kerana niat asal isteri tercinta yang kadang asalnya cuma mahu membeli satu dua barang, boleh secara tiba-tiba bertukar menjadi ekspedisi panjang meneroka setiap ceruk kedai yang ada dalam pusat beli-belah.
Si isteri pula, boleh 'hilang' berjam-jam dalam kedai meninggalkan si suami yang mungkin terkapai-kapai tidak tahu hendak buat apa sepanjang membeli-belah.
Ada yang scroll telefon, tengok orang lalu-lalang, makan atau sekadar termenung memikirkan keputusan hidup sambil menunggu.
Lebih kelakar, ada suami yang nampak begitu pasrah duduk di luar kedai seolah-olah sedang menunggu keputusan mahkamah.
Ruang tunggu isteri shopping curi perhatian ramai
Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @kapakipi_, mencuri perhatian selepas dia menemukan satu ruang duduk unik ketika berkunjung ke MyTOWN Shopping Centre.
Menariknya, ruang berkenaan menggunakan nama 'Kontinjen Tunggu Bini Shopping', sekali gus membuatkan pengguna tersebut terhibur dengan label yang cukup dekat dengan situasi kehidupan seharian.

Kalau dikumpulkan, boleh buat perbarisan
Perkongsian itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menganggap nama tersebut cukup ‘kena’ dengan golongan suami yang memilih untuk berehat sementara pasangan masing-masing meneruskan aktiviti membeli-belah.
Ada yang menganggap penggunaan perkataan ‘kontinjen’ itu sendiri cukup menghiburkan, seolah-olah para suami yang sedang menunggu berkenaan merupakan atlet yang bakal menyertai satu acara besar.
Malah, seorang netizen secara berseloroh membayangkan jika semua ‘anggota kontinjen’ itu dikumpulkan di satu tempat, mereka boleh membuat perbarisan beramai-ramai sementara menunggu isteri masing-masing selesai shopping.
“Hahahahhaha wey apaa comel nauuu. Kontijen eh. Nnt boleh laa masuk perbarisan ramai-ramai,” seloroh seorang netizen.
Seorang lagi netizen pula terhibur dengan nama yang diberikan, malah menyifatkannya sebagai sesuatu yang cukup terus terang dan mengena dengan situasi berkenaan.
“Hahaha, direct terus nama kontijen nya, jujur,” katanya.
Ada juga yang mengakui pernah melihat ruang berkenaan ketika berkunjung ke pusat beli-belah tersebut, menunjukkan lokasi itu sememangnya menarik perhatian pengunjung.
“Hahaha, ada nampak haritu,” komen seorang lagi netizen.
Kewujudan papan tanda berkenaan berkenaan sememangnya mencuit hati, terutama bagi mereka yang pernah melalui situasi dimana kaki menjadi terlalu lenguh akibat berdiri atau menapak dari kedai ke kedai menemani pasangan masing-masing.
Bagi para suami, mungkin selepas ini tidak perlu lagi berpura-pura sibuk melihat telefon atau berjalan mundar-mandir di luar kedai kerana sudah ada 'markas' khas untuk menunggu dengan tenang sehingga misi shopping isteri selesai.

