Semalam tular mengenai gelagat mencuit hati seorang murid yang menghantar pesanan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Hari Usahawan Cilik As Sakeenah Learning Centre yang diadakan di sekolahnya.
Kisah itu mendapat perhatian warga maya selepas tangkap layar pesanan yang dihantar melalui aplikasi TikTok itu dikongsikan oleh gurunya di Threads.
Menerusi hantaran berkenaan, pengguna Threads itu berkata murid berkenaan bertanya kepada sama ada mereka boleh menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke acara tersebut.


“Last week one of my student tanya boleh ke ajak PMX datang Hari Usahawan Cilik. Kita pun cakap kalau awak berjaya buat PMX datang abi bagi awak 100 markah on ClassDojo (as rewards),” katanya.
Tanpa disangka-sangka, murid berkenaan benar-benar menghantar jemputan kepada pemimpin nombor satu negara itu, sekaligus menyatakan hasratnya untuk melihat PMX hadir ke acara tersebut.
Lebih menarik, gaya bahasa yang digunakan cukup mesra, namun pada masa yang sama mencuit hati, apabila membahasakan diri Perdana Menteri dengan gelaran Uncle.
“Tudiaa dia pi Unclekan je PMX,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Perkongsian itu turut menarik perhatian apabila PMX sendiri membalas pelawaan berkenaan, malah sempat menitipkan pesanan kepada murid-murid.
“Wassalam. Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu saya di Brunei. Saya doakan Hari Kantin taska berjalan lancar. Jangan beli jajan banyak sangat,” balas Anwar.
Pemilik akaun itu kemudian membalas komen berkenaan dengan penuh teruja.
“Masya-Allah PMX reply, terima kasih atas doanya PMX...nanti saya tunjuk komen ni dekat para pelajar mesti diorang melompat gembira,” katanya.
Walaupun tidak dapat hadir kerana berada di Brunei, respons berkenaan ternyata mencuri perhatian apabila beliau tetap meluangkan masa membalas pelawaan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut tidak menyangka Anwar memberi respons terhadap gelagat kanak-kanak itu.
“Jangan risau, PMX reply pun saya tetap bagi markah sebab keberanian dia ajak Uncle Anwar,” seloroh seorang netizen.
“Comel gila! ‘teringin nak pergi’ hahaha. Tapi ingat tu, jangan beli jajan banyak sangat eh dik!” tulis seorang lagi.

