Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) kini melepasi 5,000 kes dengan lebih 2,320 kematian, ketika Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) memberi amaran wabak berkenaan berisiko menjadi wabak Ebola paling maut pernah direkodkan di dunia sekiranya penularannya gagal dibendung segera, lapor Xinhua.
DR Congo catat lebih 5,000 kes Ebola, 2,320 maut
Tiga bulan selepas wabak yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo itu diisytiharkan, perkembangan penularannya kini “melebihi jangkaan paling buruk” Africa CDC dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut agensi itu, setakat Isnin, DRC melaporkan lebih 5,000 kes yang disahkan dan lebih 2,320 kematian di enam wilayah iaitu Ituri, North Kivu, South Kivu, Haut-Uele, Bas-Uele dan Tshopo.
Africa CDC berkata wabak berkenaan kini merupakan wabak Ebola paling maut dalam sejarah DRC selain menjadi wabak Ebola yang berkembang paling pantas pernah direkodkan, dengan kadar kematian kes menghampiri 50 peratus.
“Ketika ini, kira-kira seorang nyawa terkorban setiap 30 minit,” menurut agensi itu.
Africa CDC memberi amaran sekiranya trend penularan itu tidak segera diubah, wabak berkenaan berisiko menjadi wabak Ebola paling maut pernah direkodkan di seluruh dunia.
Agensi itu turut menekankan pengalaman Uganda yang mengisytiharkan wabak Ebola Bundibugyo di negara berkenaan berakhir pada 28 Julai lalu.
Menurut Africa CDC, pengalaman Uganda menunjukkan virus berkenaan boleh dibendung sekiranya langkah kesihatan awam yang terbukti berkesan dilaksanakan dengan pantas dan menyeluruh, selain memastikan komuniti menjadi sebahagian daripada usaha tindak balas terhadap wabak.
DRC mengisytiharkan wabak Ebola berkenaan pada 15 Mei lalu.

