Wabak Tibi Disahkan Berlaku Di Kota Tinggi, 33 Kes Telah Dikesan
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan satu kejadian wabak Tuberkulosis atau Tibi berlaku di sebuah lokaliti di daerah Kota Tinggi, Johor.
Dalam tempoh 25 Januari hingga 4 Februari, sebanyak 33 kes telah dikesan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif kepada 804 orang kontak rapat.
"Kesemua pesakit telah menerima rawatan dan kini sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan yang berdekatan," kata JKNJ
Tambah jabatan itu lagi, terdapat satu kematian dilaporkan yang melibatkan salah seorang pesakit.
"Walau bagaimanapun, kematian ini disahkan bukan disebabkan oleh penyakit Tibi yang dihidapi," ujarnya.
Menurut JKNJ, penyakit Tibi turut dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan.
"Gejala penyakit Tibi ini termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.
"Penyakit Tibi ini boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya melalui rawatan efektif dengan tempoh rawatan minima selama enam bulan.
"Justeru JKNJ menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya, khususnya mereka yang mengalami gejala batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah kontak dengan pesakit Tibi, supaya segera menjalani saringan kesihatan di fasiliti kesihatan berhampiran bagi membendung penularan penyakit ini," katanya lagi.