Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wajib Cuba, Ini 12 Makanan & Kudapan Popular Masa Deepavali

Iqbal Yasir
makanan kudapan popular deepavali
Gambar: Bernama

Wajib Cuba, Ini 12 Makanan & Kudapan Popular Masa Deepavali

Menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut pada Isnin ini, suasana semakin terasa meriah menjelang hujung minggu ini.

Lebih-lebih lagi, ramai yang sudah mula bergerak pulang ke kampung halaman. Bagi rakan-rakan yang berketurunan India pastinya sibuk melakukan pelbagai persiapan terakhir bagi menyambut hari istimewa ini.

Seperti perayaan lain, Deepavali disambut bukan sahaja mengenakan pakaian baharu, dekorasi indah atau amalan berkunjung mesra.

Apatah lagi, tak lengkap jika hari penuh istimewa ini tidak dihidangkan dengan pelbagai hidangan tradisional India.

Bersempena dengan perayaan Deepavali ini, SK bakal kongsikan antara sajian menarik yang biasanya dijumpai ketika musim perayaan ini di bawah.

Menu Wajib Ada Deepavali

1. Tosai

makanan kudapan popular deepavali
Gambar: Fatimah Saari/Siakap Keli

Sebut pasal Tosai, hidangan ini sudah tidak asing dalam masakan India. Ia merupakan sejenis lempeng nipis yang diperbuat daripada adunan beras dan dhal yang ditapai.

Rasanya bertambah ‘kick’ apabila dimakan bersama pelbagai jenis kari dan chutney.

Walaupun dinikmati sepanjang tahun, tosai tetap menjadi sajian utama ketika perayaan Deepavali.

2. Putu Mayam

Dikenali dengan mi halus yang berasaskan tepung beras, putu mayam biasanya dihidangkan bersama kelapa parut segar dan gula melaka.

Gabungan rasanya yang berlemak dan manis menjadikannya pilihan popular untuk sarapan ringan atau minum petang

3. Vadai

Selain itu, Vadai pula ialah sejenis kuih goreng tradisional India yang dibuat daripada kacang dhal atau kacang urad dhal.

Lazimnya, bahagian luar vadai rangup manakala dalamnya lembut, menjadikannya lebih enak apabila dinikmati bersama chutney kelapa.

4. Uttapam

Uttapam boleh dianggap sebagai pankek versi India dengan tekstur yang lebih tebal berbanding tosai.

Ia biasanya dihiasi dengan hirisan bawang, tomato atau cili hijau, dan sering dihidangkan sebagai sarapan atau hidangan ringan.

5. Murukku

Gambar: Bernama

Sebut sahaja Murukku, ia antara kudapan paling sinonim dengan Deepavali. Menu ini diperbuat daripada tepung beras yang dicampur rempah ratus, kemudian digoreng sehingga rangup berwarna keemasan.

Ia jajan ‘wajib ada’ di setiap rumah semasa perayaan ini berlangsung.

6. Panipuri

Panipuri merupakan salah satu hidangan popular dari India. Ia terdiri daripada bebola rangup kecil yang diisi dengan campuran kentang, kacang, bawang serta kuah manis-pedas.

Panipuri bukan sahaja digemari di India, malah semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

7. Laddu

Manisan berbentuk bulat seakan bebola ini diperbuat daripada tepung, gula dan lemak sapi (ghee).

Teksturnya lembut dan rasanya manis berlemak, menjadikan laddu hidangan istimewa dalam majlis keagamaan dan perayaan.

8. Teh Masala

makanan kudapan popular deepavali
Gambar: Foodpanda.my

Tak perlu dinafikan lagi, minuman yang satu ini sememangnya antara pilihan ramai.

Rasa berempah dan beraroma, berasal dari campuran susu, teh hitam serta campuran rempah seperti kayu manis, halia, buah pelaga dan cengkih.

Teh masala biasanya dinikmati terutama selepas menikmati hidangan berat.

BACA: Tertanya-tanya, Rupanya Ini Beza Deepavali & Diwali Yang Ramai Tak Tahu

9. Nasi Daun Pisang

Keunikan hidangan kali ini adalah dihidangkan di atas daun pisang, yang diletakkan nas bersama pelbagai lauk seperti kari ikan, kari daging, sayur berkuah, jeruk dan papadom.

Hidangan ini bukan sahaja lazat, tetapi turut melambangkan keaslian budaya India Selatan.

10. Ayam Varuval

Seterusnya, ayam varuval merupakan hidangan ayam masak kering berempah. Uniknya menu ini, ia menggunakan bahan seperti serbuk ketumbar, cili kering dan daun kari.

Tanpa menggunakan santan, masakan ini tetap kaya rasa pekat, pedas dan wangi, menjadikannya antara lauk kegemaran ramai.

11. Rasam

Rasam ialah sup berempah tradisional India yang diperbuat daripada campuran asam jawa, lada hitam, cili dan pelbagai rempah lain.

Selain menjadi pembuka selera, ia juga dipercayai membantu pencernaan makanan dan sesuai untuk mereka yang kurang sihat.

12. Idli

Gambar: Istimewa

Idli ialah kuih kukus lembut yang dihasilkan daripada adunan nasi dan vigna mungo (kacang urad dhal) yang ditapai.

Hidangan ini biasanya disajikan bersama sambal atau chutney, dan sesuai dinikmati pada waktu pagi sebagai sarapan sihat.

Sumber: Mediacorp