Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Di Sebalik Kod Komputer Yang Membawa Manusia Ke Bulan, Margaret Hamilton Meninggal Dunia Pada Usia 90 Tahun

BULAN
Kredit: MIT News

Nama Margaret Hamilton mungkin tidak sepopular Neil Armstrong, namun sumbangannya dalam sejarah penerokaan angkasa lepas cukup besar.

Saintis komputer itu mengetuai pasukan pembangunan perisian yang membantu menjayakan misi Apollo NASA, termasuk pendaratan manusia pertama di bulan pada 1969.

Hamilton dilaporkan meninggal dunia pada 30 September lalu pada usia 90 tahun.

Sepanjang kerjayanya, beliau bukan sahaja membangunkan perisian untuk misi angkasa lepas, malah membantu meletakkan asas kepada kejuruteraan perisian sebagai satu bidang profesional.

Berikut beberapa fakta menarik mengenai tokoh yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan misi Apollo.

1. Bermula dengan kajian ramalan cuaca

Kredit: MIT News

Hamilton dilahirkan di Paoli, Indiana, pada 1936. Beliau mula mempelajari matematik di Universiti Michigan pada 1955 sebelum berpindah ke Earlham College dan memperoleh ijazah dalam bidang matematik dengan pengkhususan sampingan dalam falsafah pada 1958.

Pada 1959, Hamilton berpindah ke Boston dan mendapat pekerjaan sementara di Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Di sana, beliau terlibat dalam pembangunan perisian ramalan cuaca bersama ahli meteorologi Edward N. Lorenz. Pengalaman itu menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang pengaturcaraan komputer.

2. Pernah membangunkan sistem pertahanan udara

Pada 1961, Hamilton menyertai MIT Lincoln Laboratory sebagai pengatur cara untuk projek Semi Automatic Ground Environment (SAGE), iaitu sistem pertahanan udara awal Amerika Syarikat.

Beliau menulis perisian bagi komputer prototaip yang digunakan Tentera Udara Amerika Syarikat untuk mengesan pesawat yang berpotensi menjadi ancaman.

Pengalaman tersebut turut mendorong minatnya terhadap kebolehpercayaan perisian, satu aspek penting dalam memastikan sistem komputer dapat berfungsi dengan betul.

3. Dipilih untuk projek menghantar manusia ke bulan

Peluang besar Hamilton muncul pada 1965 apabila beliau mengetahui bahawa Instrumentation Laboratory di MIT mencari individu untuk membangunkan perisian bagi program Apollo NASA.

Beliau memohon dan diterima sebagai pengatur cara pertama bagi projek Apollo di MIT, selain menjadi wanita pertama yang menyertai pasukan pengatur cara projek berkenaan menurut sumber asal.

Hamilton pada awalnya membangunkan perisian untuk misi Apollo tanpa kru sebelum dinaikkan pangkat untuk mengetuai pasukan yang menghasilkan perisian penerbangan bagi misi berawak.

Menjelang 1968, beliau menjadi penolong pengarah yang bertanggungjawab terhadap pasukan Command and Service Module. Ketika itu, lebih 400 individu terlibat dalam pembangunan perisian Apollo.

4. Pengalaman anaknya mencetuskan idea penting

Antara kisah menarik dalam kerjaya Hamilton ialah kejadian melibatkan anak perempuannya, Lauren, yang ketika itu berusia empat tahun.

Lauren dikatakan secara tidak sengaja mengaktifkan program prapelancaran ketika menggunakan simulator modul arahan di makmal MIT. Tindakan itu menyebabkan simulator mengalami kegagalan ketika berada dalam keadaan simulasi penerbangan.

Hamilton kemudian mencadangkan amaran supaya program berkenaan tidak diaktifkan ketika penerbangan. Beliau turut mengusulkan perubahan perisian untuk mengelakkan kejadian serupa dalam misi sebenar, namun cadangan itu pada awalnya tidak diterima.

Insiden seumpama itu kemudiannya berlaku ketika misi Apollo 8 pada 1968 apabila angkasawan Jim Lovell secara tidak sengaja mengaktifkan program berkenaan. Data navigasi penerbangan hilang dan Hamilton bersama pasukannya dipanggil untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Selepas kejadian itu, perubahan yang dicadangkannya dimasukkan ke dalam perisian.

Pendekatan tersebut menjadi antara contoh awal pengaturcaraan defensif, iaitu kaedah membangunkan perisian yang mengambil kira kemungkinan berlakunya kesilapan dan menyediakan langkah untuk mengurangkan kesannya.

5. Perisian pasukannya membantu misi Apollo 11 diteruskan

Sumbangan Hamilton paling dikenali berlaku ketika misi Apollo 11 pada Julai 1969.

Beberapa saat sebelum modul Eagle mendarat di permukaan bulan, komputer kapal angkasa mengeluarkan amaran ralat 1202. Komputer itu mengalami beban pemprosesan berlebihan akibat masalah pada suis perkakasan.

Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan sama ada komputer mampu meneruskan proses pendaratan yang kompleks.

Bagaimanapun, perisian yang dibangunkan Hamilton dan pasukannya mempunyai sistem keutamaan. Sistem itu membolehkan tugas yang tidak penting dihentikan supaya komputer dapat mengutamakan tugas kritikal misi.

Pusat kawalan di Houston mempercayai keupayaan perisian tersebut dan membenarkan misi diteruskan. Hasilnya, Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjaya menjejakkan kaki di bulan buat kali pertama dalam sejarah manusia.

6. Membantu membentuk bidang kejuruteraan perisian

Bagi Hamilton, pembangunan perisian bukan sekadar menulis arahan untuk komputer. Beliau mahu bidang itu diiktiraf sebagai satu disiplin kejuruteraan yang mempunyai kaedah, prinsip dan tanggungjawab tersendiri.

Istilah software engineering atau kejuruteraan perisian digunakan beliau untuk membezakan bidang tersebut daripada kejuruteraan perkakasan, sambil menegaskan bahawa kedua duanya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses kejuruteraan sistem.

Pada peringkat awal, idea itu dikatakan dianggap luar biasa oleh sesetengah pihak. Namun, kejuruteraan perisian akhirnya berkembang menjadi bidang penting dalam pembangunan teknologi moden.

7. Menubuhkan dua syarikat teknologi

Selepas meninggalkan MIT pada era 1970 an, Hamilton meneruskan kerjayanya dalam bidang pembangunan sistem komputer.

Pada 1976, beliau menubuhkan syarikat pertamanya, Higher Order Software, yang memberi tumpuan kepada pendekatan kejuruteraan perisian berasaskan pencegahan kesilapan dan toleransi kegagalan.

Kira kira sedekad kemudian, beliau menubuhkan Hamilton Technologies. Syarikat itu membangunkan pendekatan dan produk untuk meningkatkan kebolehpercayaan sistem serta memperkemas proses pembangunan perisian.

8. Menerima pengiktirafan tertinggi daripada Amerika Syarikat

Sumbangan Hamilton menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang hayatnya.

Pada 2016, beliau dianugerahkan Presidential Medal of Freedom oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama.

Beliau turut menerima NASA Exceptional Space Act Award pada 2003, Computer History Museum Fellow Award pada 2017 dan Intrepid Lifetime Achievement Award pada 2019.

Pada 2022, Hamilton turut diiktiraf melalui kemasukannya ke dalam National Aviation Hall of Fame.

9. Menjadi inspirasi kepada wanita dalam bidang teknologi

Hamilton semakin dikenali sebagai ikon wanita dalam sains dan teknologi apabila gambar beliau berdiri di sebelah cetakan kod komputer pasukan Apollo mula tersebar secara meluas.

Pada 2015, kod perisian Apollo 11 yang dibangunkan pasukannya dimuat naik sepenuhnya ke platform perkongsian kod GitHub.

Dua tahun kemudian, Hamilton turut diabadikan sebagai figura LEGO dalam set yang menghargai wanita yang menyumbang kepada sejarah NASA.

Legasinya terus menjadi inspirasi kepada generasi saintis komputer dan jurutera, khususnya dalam usaha membangunkan sistem yang lebih selamat, boleh dipercayai dan mampu menangani kesilapan.

Hamilton meninggalkan seorang anak perempuan, Lauren Hamilton, seorang menantu, dua cucu, empat cicit serta adik beradiknya. Menurut laporan asal, upacara memperingati beliau dijadualkan berlangsung pada musim bunga di Cambridge, Massachusetts.

Sumber:MIT News
Intipati
  • Margaret Hamilton dilaporkan meninggal dunia pada 30 September lalu ketika berusia 90 tahun.
  • Beliau mengetuai pembangunan perisian Apollo yang membantu pendaratan manusia pertama di bulan.
  • Hamilton turut membantu membentuk kejuruteraan perisian dan menerima beberapa pengiktirafan utama Amerika Syarikat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan