Percaya bahawa tubuh sudah kuat untuk melawan COVID-19 tanpa menyuntik vaksin, seorang wanita tidak bernasib baik setelah dijangkiti virus itu dan mengakibatkannya meninggal dunia.
Difahamkan, dia dan keluarga dijangkiti COVID-19 setelah pulang dari kem gereja yang diadakan selama seminggu.
Di saat-saat sebelum kematiannya, wanita yang berusia 42 tahun itu seperti sudah berubah fikiran dan menggesa agar anak-anaknya disuntik vaksin.
“Tolong pastikan anak-anak saya mendapat vaksin,” kata wanita itu kepada kakaknya ketika panggilan telefon terakhir mereka.
Menurut The Seattle Times, wanita itu telah meninggal dunia pada Isnin, iaitu dua minggu selepas pemergian suaminya yang juga disebabkan COVID-19.
Pasangan itu telah berjuang melawan COVID-19 sehingga ke nafas terakhir di unit rawatan rapi, hospital Texas.
Mereka antara puluhan juta rakyat Amerika Syarikat yang belum menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin yang telah disediakan percuma kepada sesiapa saja yang berumur 12 tahun ke atas.
Sementara itu, pegawai kesihatan menekankan bahawa vaksin secara signifikan menurunkan peluang seseorang untuk mengalami sakit yang teruk atau meninggal dunia disebabkan oleh virus itu.
“Dia tidak mempercayai vaksin, dia percaya bahawa dia boleh menghadapi semuanya sendiri dan tidak memerlukan sebarang ubat,” kata sepupu wanita itu.
Suami wanita itu juga turut tidak percaya pada vaksin dan menolak untuk mendapatkan suntikan. Tiga daripada empat anak mereka pula layak tetapi belum mendapat vaksin.
Sumber: The Seattle Times