Pasukan penyelamat berjaya menemukan seorang wanita Nepal dalam keadaan masih hidup pada Sabtu selepas rumahnya tertimbus lumpur tebal dan runtuhan susulan banjir besar yang melanda wilayah itu 10 hari lalu.
Terdahulu, pasukan kecemasan turut memaklumkan mereka menyelamatkan seorang lelaki warga China yang ditemukan masih hidup di dalam sebuah terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.

Wanita ditemui selamat
Anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal bersorak ketika wanita berusia 64 tahun, Chandrika Shrestha, yang tubuhnya diselaputi lumpur, berjaya dikeluarkan dari rumahnya yang tertimbus di daerah Nuwakot.
“Pasukan polis menemukannya ketika sedang membersihkan kawasan tersebut. Dia telah diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” kata Timbalan Penguasa Polis, Iqbal Hawari kepada AFP.
Rakaman video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian daripada rumah wanita itu masih kelihatan, manakala tingkat bawahnya tenggelam sepenuhnya dalam lumpur tebal.
Sementara itu, pasukan tindak balas kecemasan terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat sejak gelombang air dan lumpur seakan tsunami melanda kawasan sempadan China-Nepal susulan runtuhan glasier dan batu pada 26 Ogos.
Menurut agensi bencana negara itu, setakat ini sebanyak 1,344 mayat telah ditemukan di Nepal, manakala kira-kira 5,000 orang masih dilaporkan hilang.
Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang terkorban dan 531 lagi masih hilang.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan korban di kedua-dua negara seramai 1,375 orang, dengan lebih 5,500 lagi masih hilang.
