Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Wanita Hamil Berjaya Raih Anugerah Naib Canselor Demi Janji Kepada Arwah Ibu
Majlis graduasi adalah hari yang paling dinanti-nantikan oleh setiap pelajar universiti selepas berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
Ada yang hadir ditemani keluarga, ada pula yang datang bersama rakan-rakan dan tidak kurang juga mereka yang membawa kenangan insan tersayang yang telah tiada, namun tetap hidup dalam ingatan dan hati mereka.
Setiap pelajar pasti memiliki pelbagai momen pahit manis yang dilalui sepanjang menimba ilmu di menara gading ini.
Walaupun majlis hanya berlangsung dalam tempoh beberapa jam, namun detik itu akan diingati oleh para pelajar sampai bila-bila.
Baru-baru ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan detik membanggakan seorang wanita yang menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) bagi Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Video tersebut dikongsikan oleh pengguna TikTok, @syzlyana, yang menceritakan pengalaman manisnya. Pada hari konvokesyen dahulu, dia hanya naik ke pentas untuk menerima sijil diploma tanpa ANC.
Namun kali ini, detik itu membawa makna yang berbeza bagi wanita tersebut.
Dalam klip seterusnya, wanita berkenaan muncul dengan selempang merah jambu, simbol khas bagi penerima ANC, menandakan kejayaan luar biasa dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda.
Apa yang lebih mengagumkan, pada hari konvokesyen 29 November, dia melangkah ke pentas dalam keadaan hamil sembilan bulan, sekali gus menjadikan momen itu benar-benar istimewa.
“Masa diploma dulu, saya pernah berjanji untuk menghadiahkan ANC kepada arwah ibu saya. Namun, saya terlepas satu semester untuk Dean’s List
“Jadi, saya meneruskan pengajian ijazah saya demi mengejar misi itu dan menunaikan janji saya. Alhamdulillah, saya berjaya. Kali ini, saya tamat pengajian dengan ANC dan kelas pertama,” jelas @syzlyana.
Menurutnya, banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang belajar, namun demi menunaikan janji kepada arwah ibunya, dia tetap bertekad.
“Perjalanan ini tidak mudah, banyak cabaran yang saya tempuhi, tapi saya tidak pernah berputus asa. Saya terus mengingatkan diri sendiri, kali ini, saya mesti memegang scroll sambil memakai selempang merah jambu, sebagai simbol usaha saya dan janji saya kepada arwah ibu saya,” ujarnya.
Dia turut menasihati agar tidak mudah berputus asa dan yakin bahawa suatu hari nanti segala usaha dan penat lelah pasti membuahkan hasil.
“Nasihat saya, dalam apa jua yang kita kejar, pastikan kita jelas tentang tujuan dan matlamat kita. Jangan mudah putus asa. Suatu hari nanti, semua usaha dan perjuangan kita akan membuahkan hasil. Percayalah pada prosesnya,” tambahnya.
BACA: Bapa Graduan Susah Senyum, Jurugambar Guna Idea ‘Unik’ Ketika Bergambar Buat Ramai Ketawa
Sumber: @syzlyana