Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Wanita Kongsi Detik Cemas “Power Bank” Meletup Di Rumah

Hannah
power bank meletup di rumah
Gambar: Nurul Najihah/FB

Wanita Kongsi Detik Cemas “Power Bank” Meletup Di Rumah

Betullah orang cakap, “malang tak berbau”. Bila-bila masa saja, kita boleh diuji dengan kejadian yang bahkan kadang di luar jangkaan.

Begitulah yang dialami seorang wanita apabila power bank miliknya tiba-tiba meletup dan terbakar ketika sedang dicas di rumah. Insiden ini sehingga menyebabkan dia cedera melecur di bahagian lengan.

Kejadian yang mencemaskan itu dikongsikan sendiri oleh wanita berkenaan menerusi hantaran di Facebook, Nurul Najihah.

Dia menyifatkan insiden tersebut sebagai pengajaran besar buat dirinya dan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengecas peranti elektronik.

Caj power bank, tiba-tiba dengar bunyi letupan kuat macam bom

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang ketika dia sedang mengecas power bank di tepi pencetak (printer). Kedua-duanya diletakkan di atas karpet putih di bilik tidur utama rumahnya.

“Saya tengok bateri power bank 70 peratus, saya pun sambung caj nak bagi cukup 100 peratus. So saya pun caj power bank di tepi printer saya.

Printer saya memang saya letak tempat special iaitu atas karpet putih. Dan power bank pun diletakkan atas karpet putih jugalah,” katanya.

Tiba-tiba, tak lama kemudian, dia terdengar bunyi letupan kuat macam bom. Dia juga berada berhampiran ketika kejadian.

Gambar: Nurul Najihah/FB

“Dalam pukul 2.15 petang macam tu saya terdengar bunyi letupan macam bom, lepastu keluar api warna merah-merah, oren. Tak sempat ambil gambar time tu sebab menggigil ketakutan dan terkejut.

“Nasib baik saya duduk atas kerusi tengah layan fbpro, masa tu. Time terdengar bunyi tu, di sebelah lengan saya je lokasi power bank tu dicaj. Jadi lengan saya pun turut terkena api juga. Jadi melecurlah sikit bahagian lengan,” katanya lagi.

Tindak pantas, lari dengan kain basah dan sebaldi air

Walaupun dalam keadaan terkejut dan kesakitan, wanita itu tidak leka berfikir pantas dan bertindak segera. Dia mengambil kain basah serta sebaldi air dari bilik air berhampiran untuk memadamkan api.

“Jadi nasib baik (bilik air) dekat. Kalau jauh, memang api makin marak,” jelasnya.

Katanya lagi, asap tebal mula memenuhi bilik menyebabkan dia semakin cemas. Namun, mujurlah tindakan pantas itu berjaya mengawal keadaan sebelum api merebak ke bahagian lain rumah.

Gambar: Nurul Najihah/FB

Wanita itu turut berkongsi bahawa power bank berkenaan dibeli sekitar harga RM70 hingga RM100 dan telah digunakan sejak tahun 2022 atau 2023.

“Mungkin meletup sebab dah lama guna, mungkin sebab cuaca panas, mungkin sebab atas karpet, mungkin sebab overcas. So pengajaran dekat sini, korang hati-hati tau nak cas power bank, telefon ke apa ke. Sampai hari ni saya trauma,” tambahnya.

Wanita tersebut juga menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan peranti elektronik yang sedang dicas tanpa pengawasan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.

BACA: Diraikan Bak Raja Sehari, “Pak Guard” Sekolah Terima Hadiah Bernilai Lebih RM2,000

Sumber: Nurul Najihah