Tahukah anda? Pada akhir November 2021, seorang wanita dari Kemaman, Terengganu telah menjumpai ketulan yang dipercayai ambergis atau muntah ikan paus ketika dia sedang memancing di sekitar jeti LKIM di Marang.
Tetapi, tahukah anda apakah ambergis tersebut? Adakah muntah ikan paus ini sama seperti muntah manusia?
Menerusi sebuah perkongsian di laman media sosial Twitter Bernama, mereka ada kongsikan maklumat berkaitan ambergis atau muntah ikan paus.
Ambergis ialah bahan yang terhasil daripada rembesan saluran hempedu di dalam sistem pencernaan ikan paus sperma.
Ianya juga berwarna kelabu ataupun kehitaman kusam, berlilin, dan mudah terbakar. Selain itu, walaupun namanya agak tidak menyenangkan namun ianya sangat tinggi nilainya dalam industri minyak wangi.
Hal ini demikian kerana, fungsinya di dalam minyak wangi tersebut ialah sebagai agen penetap supaya aroma tahan lebih lama. Namun begitu, ambergis agak sukar untuk di temui jadi, ianya digantikan dengan ambroksida sintetik.
Walaupun begitu, bagi memastikan sama ada ambergis tersebut mempunyai nilai atau tidak, ianya perlu di periksa terlebih dahulu. Ambergis yang bernilai tinggi perlulah memiliki tiga bahan aktif utama ini iaitu, 25% – 45% ambrein, 30% – 40% epicoprosterol, dan 3% – 4% coprostanone.
Jika ambergis yang ditemui tidak memiliki tiga bahan aktif ini maka ianya tidak mempunyai sebarang nilai.
Namun begitu berdasarkan analisis yang dilakukan oleh pihak PPPL UMT, “Ketiga-tiga bahan aktif ini tidak di temui dalam 18 sampel yang di temui di perairan negara,” kata Pengarah PPPL UMT Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari.

Sumber: Bernama
