Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Warga Emas Ditemukan Maut, Dipercayai Dibunuh Anak Perempuannya

Dibunuh anak perempuannya
Kredit: Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin --Foto BERNAMA

KAMPAR, 28 Sept (Bernama) -- Seorang wanita warga emas ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh anak perempuannya dalam kejadian di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu, di Ipoh, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata mangsa berusia 70 tahun itu ditemukan dengan kesan satu tikaman di dadanya dipercayai dibunuh oleh anak perempuannya berumur 49 tahun yang mempunyai masalah mental.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada menantu mangsa pada kira-kira 7 malam.

“Difahamkan, warga emas itu yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi baru diambil dari pusat jagaan orang tua di Pusing dan dijaga oleh anak perempuan serta menantunya, dan anaknya itu mempunyai rekod rawatan psikiatri.

“Kita telah menahan suspek dan akan direman hingga 4 Okt ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata pihaknya merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata anak lelaki kepada seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang maut dibunuh di rumahnya di Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar pada 23 Sept lepas, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata remaja berusia 15 tahun itu sebelum ini direman bersama bapanya berumur 44 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 49 tahun ditemukan mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.38 petang selepas ahli keluarga menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.

Sumber:BERNAMA