Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Warga Nigeria Mengaku Salah Tipu Pengurus Syarikat Hartanah Lebih RM300,000

Kredit: Google

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Seorang lelaki warga Nigeria mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengurus syarikat hartanah membabitkan pelaburan projek pembekalan produk marin berjumlah lebih RM300,000.

Innocent Uchechukwu Christian, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Hasbullah Adam yang menetapkan 31 Dis untuk menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes.

Sementara itu tunangnya, M. Suvitha, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Lelaki itu didakwa bersama-sama Suvitha menipu seorang wanita berusia 52 tahun dengan memperdayanya untuk melabur dalam projek pembekalan produk marin sehingga mangsa membuat pindahan wang ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM339, 610 yang mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M. Tharuma Ratnam.

Annur Atiqah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap wanita itu manakala Tharuma Ratnam memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya kini mengandung tujuh bulan dan perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital.

“Jika anak guam saya gagal membayar (jaminan) dia terpaksa ditahan di penjara dalam keadaan mengandung dan dia juga mempunyai seorang lagi anak berusia tujuh tahun,” kata peguam itu.

Hasbullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Jan tahun depan.

Di mahkamah sama dalam kes berlainan, seorang pengarah urusan sebuah syarikat alat ganti, Tan Chey Lay mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dan memberikan pinjaman kepada Jason Lim Teng Tian, 48, berjumlah RM215, 000 berserta faedah.

Tan, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Niaga Waris di sini, antara 19 Jun 2019 hingga 21 Jun 2019, mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Annur Atiqah mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sementara peguam Jason Cheong yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak masing-masing berumur lapan dan enam tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 Feb 2021 untuk serahan dokumen.

Sumber: BERNAMA