Lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di Gaza berdepan risiko terhenti operasi selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan akan menghentikan bekalan diesel ke fasiliti berkenaan mulai 19 September ini.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, keputusan itu dibuat susulan kekurangan bahan api yang kritikal serta kegagalan bekalan minimum yang diperlukan untuk memastikan hospital dan pusat kesihatan terus beroperasi.
Katanya dalam satu kenyataan, WHO memaklumkan bekalan diesel akan dihentikan akibat kekurangan dana.
“Dalam keadaan kekurangan bahan api dan minyak yang teruk, serta kegagalan menghantar jumlah minimum yang diperlukan untuk mengendalikan hospital dan pusat kesihatan di Gaza, WHO mengumumkan penggantungan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan mulai 19 September kerana kekurangan dana,” katanya.
Bagaimanapun, WHO belum memberikan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang didakwa oleh Kementerian Kesihatan Gaza itu.
Menurut al-Bursh, jumlah bahan api yang berjaya memasuki Gaza ketika ini hanya mencukupi untuk memastikan fasiliti kesihatan terus beroperasi pada tahap minimum.
Jelasnya, penghentian bekalan diesel bukan sekadar menyebabkan generator elektrik terhenti, malah boleh menjejaskan operasi bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), mesin bantuan pernafasan serta bekalan oksigen.
“Keadaan ini turut mengancam nyawa kanak-kanak dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa yang cedera dan mereka yang menghidap penyakit kronik,” ujarnya.
Beliau berkata, krisis bahan api itu juga berisiko melumpuhkan ambulans serta sistem rantaian sejuk yang digunakan untuk menyimpan ubat-ubatan dan vaksin.
Menurutnya, kekurangan bahan api kini mendorong hospital di Gaza ke arah penutupan sepenuhnya, sekali gus mendedahkan pesakit kepada risiko kematian yang boleh dielakkan.
Al-Bursh turut menyifatkan penghentian bekalan bahan api kepada hospital sebagai satu bentuk “pembunuhan senyap” terhadap pesakit yang sedang menerima rawatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa WHO, penderma dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi memastikan bekalan bahan api serta minyak dihantar dalam jumlah mencukupi, selain menjamin penghantaran yang selamat dan berterusan ke semua fasiliti kesihatan.
Generator Hospital Mula Terhenti
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad memaklumkan beberapa generator elektrik di hospital mula terhenti akibat kekurangan minyak, alat ganti dan bahan api.
Menurut kementerian itu, keadaan berkenaan semakin menyukarkan hospital untuk mengekalkan operasi generator bagi memenuhi keperluan elektrik harian.
Generator menjadi sumber utama elektrik hospital di Gaza bagi memastikan jabatan kritikal serta peralatan perubatan terus berfungsi ketika bekalan elektrik awam terputus.
Kementerian berkenaan berkata, generator turut berdepan masalah operasi akibat kekurangan bahan api, susulan penutupan lintasan Kerem Shalom antara Gaza dan Israel sejak Oktober 2023 serta penguasaan tentera Israel terhadap lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir sejak Mei 2024.
Kedua-dua lintasan berkenaan hanya dibuka secara terhad sejak itu bagi membolehkan sebahagian pesakit, mangsa cedera dan individu yang pulang ke Gaza keluar masuk, selain kemasukan bantuan kemanusiaan, bekalan perubatan dan bantuan lain dalam jumlah terhad.
Sementara itu, pejabat media kerajaan Gaza berulang kali mendakwa Israel gagal memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, termasuk membenarkan kemasukan jumlah bantuan dan bahan api yang dipersetujui bagi sektor-sektor penting.
Menurut laporan Anadolu, sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 174,000 lagi cedera. Sekitar 90 peratus infrastruktur di Gaza turut musnah.

