Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Yayasan Peneraju Dan AIM Bantu Mangsa Banjir Di Yan, Kedah

Gambar: Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut tampil memberikan bantuan kepada mangsa bencana banjir akibat fenomena kepala air di Yan, Kedah pada Rabu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Kolonel Bersekutu (PA) Mohd Muzzammil Ismail dalam kenyataan hari ini berkata yayasan itu menerusi Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Kedah telah membantu dalam kerja-kerja mencuci bangunan dan rumah orang awam.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat jentolak untuk membersihkan lumpur selut akibat banjir tersebut bagi memberi laluan kepada kenderaan lain masuk ke lorong, kawasan perumahan dan bangunan yang terkesan,” katanya.

Menurut Mohd Muzzammil, beliau secara peribadi mewakili Yayasan Peneraju telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada 10 keluarga serta sebuah rumah anak yatim di beberapa lokasi termasuk Yan Kechil, Kampung Sungai Raga dan Yan Besar.

AIM dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan seramai 131 Sahabat AIM terkesan akibat bencana itu dan menerima bantuan bekalan makanan berupa beras, gula, tepung, minyak masak, susu dan bihun yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasinya Shamir Aziz.

Menurut AIM, kerja-kerja membersihkan kediaman juga giat dilakukan oleh puluhan sukarelawan yang digerakkan ke kawasan berkenaan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, Sahabat AIM yang terkesan membabitkan tujuh blok iaitu Tanjung Dawai, Merbok, Jerai, Bedong, Semeling, Sungai Limau dan Amanjaya.

Terdapat 3,162 Sahabat AIM di daerah Yan dengan kebanyakan daripada mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual makanan, kedai runcit, petani dan nelayan.

Tragedi pada petang Rabu itu meragut enam nyawa serta menjejaskan lebih 1,000 rumah di sekitar daerah Yan dan Kuala Muda.

Sumber: BERNAMA