Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Zainudin Dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Baharu
KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu berkuat kuasa 29 Jun ini.
Pelantikan Zainudin bagi menggantikan Datuk Seri Safar Untong yang akan tamat perkhidmatannya pada 28 Jun diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan media hari ini.
Hajiji berkata pelantikan itu diharap dapat memperkasakan lagi perkhidmatan awam Sabah supaya terus maju dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri.
"Usaha ini penting dalam memastikan kemajuan dan kecemerlangan berterusan sekali gus dasar-dasar kerajaan berjalan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Safar yang telah berkhidmat dengan penuh cemerlang, dedikasi, berhemah dan berintegriti sejak menggalas tugas berkenaan pada 2019.
Safar juga telah dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Jabatan Ketua Menteri berkuat kuasa 1 Jun lepas.