Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

18 Pelajar Terbaik STPM 2025 Bakal Terima Biasiswa Universiti Awam

biasiswa stpm
Gambar: BERNAMA

18 Pelajar Terbaik STPM 2025 Bakal Terima Biasiswa Universiti Awam

Seramai 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bakal menerima biasiswa daripada universiti awam sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Inisiatif baharu itu merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan prauniversiti, khususnya Tingkatan Enam, di samping mengiktiraf pencapaian pelajar cemerlang.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM.

Selain itu, ia bagi menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah memilih laluan Tingkatan Enam sebagai persediaan ke institusi pengajian tinggi.

Jelas beliau, pemberian biasiswa tersebut merupakan antara langkah yang dilaksanakan secara berterusan oleh  institusi pengajian tinggi awam bagi memperkasakan sistem prauniversiti negara.

"Pada hari ini, satu lagi inisiatif baharu yang telah diumumkan ialah pemberian biasiswa kepada 18 pelajar terbaik STPM oleh universiti-universiti awam.

"Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif yang kita teruskan dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan ekosistem prauniversiti kita, khususnya Tingkatan Enam.

"Biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bentuk tajaan yuran pengajian di universiti awam," katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2025, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang STPM terus mendapat sokongan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pada majlis sama, 18 pelajar terbaik negara turut menerima anugerah yang merangkumi wang tunai RM1,000, plak dan sijil sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka.

Peningkatan prestasi keseluruhan STPM 2025

Mengulas mengenai peningkatan prestasi keseluruhan STPM 2025, Fadhlina berkata kejayaan itu didorong oleh pelbagai penambahbaikan yang telah dilaksanakan terhadap sistem pendidikan Tingkatan Enam sejak awal pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Kerajaan berpandangan Tingkatan Enam berpotensi besar untuk memartabatkan kualiti pendidikan negara.

“Sebab itu pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk penjenamaan semula melalui penubuhan dan pembesaran kolej, pusat dan kelas Tingkatan Enam di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan bantuan persekolahan khusus kepada pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini tidak disediakan.

Di samping itu, turut memperluaskan pelbagai program sokongan termasuk peluang biasiswa dan inisiatif pembangunan akademik.

Fadhlina memaklumkan bahawa kementerian telah melaksanakan sistem peperiksaan 'tampalan' STPM, yang membolehkan calon memperbaiki keputusan keseluruhan peperiksaan dan memperoleh keputusan baharu dalam tahun yang sama bagi tujuan permohonan kemasukan ke universiti awam.

“Kita ada sistem tampalan. Ini bermakna pelajar yang tidak menunjukkan prestasi baik pada semester pertama boleh meningkatkan keputusan mereka pada semester berikutnya melalui sistem itu.

“Terdapat juga langkah intervensi bagi memastikan pelajar tidak tercicir semasa mengikuti pengajian Tingkatan Enam atau menduduki peperiksaan STPM.

“Saya percaya semua intervensi dan sistem sokongan ini telah menjadi faktor utama di sebalik peningkatan dan kejayaan yang kita lihat, di samping dedikasi yang ditunjukkan oleh guru terhadap pendidikan Tingkatan Enam,” katanya lagi.

Sumber:Awani