Pelakon, Datin Seri Zizie Izette berkongsi sisi peribadi allahyarham suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkannya sebagai seorang yang sentiasa memilih untuk berbuat baik dan memaafkan orang lain.
Zizie atau nama penuhnya, Zizie Izette Abdul Samad, 47, berkata, allahyarham suaminya yang juga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan tidak pernah menyimpan dendam atau mengambil hati terhadap apa yang diperkatakan orang mengenai dirinya.
Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, meskipun pernah dilayan dengan buruk oleh sesetengah pihak, allahyarham tetap memilih untuk membantu dan berbuat baik kepada mereka.
“Dia tidak pernah simpan dendam atau ambil hati dengan apa orang kata tentang dia.
“Malah dengan orang yang pernah buat macam-macam dekat dia pun, dia tetap berbaik dan memaafkan.
“Kalau orang itu perlukan pertolongan, dia tetap tolong. Entah kenapa semalam cerita itu betul-betul buat saya tersentuh hati dan teringat arwah serta sisi dirinya yang mungkin ramai orang tak sempat kenal,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Tersentuh Dengar Kisah Pemaaf
Zizie berkata, kenangan terhadap allahyarham kembali bermain di fikirannya ketika menghadiri sebuah program keagamaan baru-baru ini.
Menurutnya, seorang penceramah ketika itu berkongsi mengenai sifat Rasulullah SAW yang tetap sabar dan memilih untuk memaafkan meskipun berdepan penghinaan dan cacian.
Jelasnya, perkongsian itu membuatkan dia terkenang akan sikap arwah suaminya yang mungkin tidak diketahui oleh ramai.
“Teringat arwah suami. Sudah tentu memang tak bolehlah nak bandingkan dengan Rasulullah SAW, tapi begitulah sifat arwah yang mungkin ramai orang tak tahu,” ujarnya.
Perkongsian Zizie itu turut menyentuh hati warga maya yang rata-rata memberi kata-kata semangat kepadanya selain berkongsi pandangan mengenai keperibadian allahyarham.
Seorang pengguna, dhahdiary, berkata meskipun tidak mengenali Bung Moktar secara peribadi, pemergian beliau turut meninggalkan rasa sedih.
“Saya tahu dia seorang yang baik. Sebab bila dia meninggal, kami yang tak kenal pun rasa sedih sangat,” katanya.
Seorang lagi pengguna, butterfly104_, pula menitipkan kata-kata semangat buat Zizie dan berharap beliau terus diberikan kekuatan untuk melalui perjalanan hidupnya.
“Tak mengapa Datin, menangislah. Tiada siapa akan menghakimi. Setiap daripada kita ada perjalanan masing-masing. Semoga Allah menyembuhkan jiwa kita,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna macik_ecah turut berkongsi pesanan mengenai pentingnya seseorang lelaki berbuat baik terhadap isterinya.
Jelasnya, perkongsian Zizie itu memperlihatkan sisi positif allahyarham yang sentiasa memilih kemaafan dan kebaikan dalam berdepan manusia.
Perkongsian tersebut sekali gus menjadi kenangan indah buat Zizie terhadap insan yang pernah menjadi pasangan hidupnya, selain mengingatkan bahawa kebaikan seseorang kadangkala hanya benar-benar diketahui oleh mereka yang pernah dekat dengannya.

