Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

ZTE & CIMB Perluas Kerjasama Strategik, Sokong Pelaksanaan 5G & Infrastruktur Digital Di Seluruh ASEAN

Aina Munirah
ZTE dan CIMB memperluas kerjasama
Kredit: ZTE

ZTE & CIMB Perluas Kerjasama Strategik, Sokong Pelaksanaan 5G & Infrastruktur Digital Di Seluruh ASEAN

Kuala Lumpur, 14 April 2026 - ZTE Corporation, penyedia global terkemuka bagi penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CIMB Bank Berhad (CIMB) bagi mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik yang bertujuan menyokong pembangunan infrastruktur digital di seluruh ASEAN.

Kerjasama ini memanfaatkan keupayaan telekomunikasi ZTE serta kepimpinan CIMB dalam pembiayaan dan penyelesaian perbankan untuk meneroka peluang yang menyokong pelaksanaan projek infrastruktur digital generasi baharu ZTE secara efisien, khususnya rangkaian 5G.

Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak juga akan meneroka kerjasama dalam pembiayaan infrastruktur, pengembangan rangkaian serantau dan pengurusan kecairan rentas sempadan.

Dengan menggabungkan keupayaan teknikal dan penyelesaian perbankan strategik, kerjasama ini bertujuan membina ekosistem menyeluruh di seluruh ASEAN, menghimpunkan operator, agensi kerajaan, pengawal selia dan pelabur bagi memacu transformasi digital serantau yang lebih luas.

MoU tersebut dimuktamadkan di Kuala Lumpur. Ia ditandatangani oleh Kevin Xiao dari ZTE dan Freddy Ong dari CIMB, serta disaksikan oleh Steven Ge dari ZTE dan Denise Wong dari CIMB.

ZTE dan CIMB sebelum ini telah membina hubungan kerjasama yang kukuh di Malaysia, termasuk kolaborasi dalam pelaksanaan 5G negara selaras dengan inisiatif digital nasional.

Kerjasama ini juga merangkumi perkhidmatan pertukaran asing, perbankan transaksi dan penyelesaian pengurusan tunai.

Berdasarkan asas ini, MoU tersebut memformalkan rangka kerja kerjasama yang lebih luas berfokuskan ASEAN, sekali gus meletakkan kedua-dua pihak dalam kedudukan untuk menyokong bukan sahaja pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia yang sedang berjalan, tetapi juga pelbagai projek infrastruktur digital di seluruh ASEAN, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja, dengan peluasan serantau yang lebih meluas pada masa hadapan.

Kerjasama yang diperluaskan ini juga dijangka mempercepatkan pelaksanaan sambungan berkelajuan tinggi di seluruh ASEAN, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada usaha merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Selain dari menyokong pembangunan rangkaian 5G, kerjasama ini akan memudahkan inisiatif infrastruktur digital yang lebih luas selaras dengan rangka kerja serantau seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Dengan mengintegrasikan teknologi telekomunikasi bersama penyelesaian kewangan berstruktur, kerjasama ini bertujuan meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan kebolehskalaan projek infrastruktur merentasi pelbagai pasaran.

Naib Presiden ZTE Corporation dan Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge turut berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan infrastruktur digital ASEAN serta mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G.

"Dengan menggabungkan kepimpinan teknologi ZTE dan platform kewangan serantau CIMB yang kukuh, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong perjalanan transformasi digital rantau ini," tambahnya.

Pengurus Besar Pusat Perbendaharaan dan Pembiayaan ZTE, Kevin Xiao, turut menambah penyelesaian kewangan dan perbendaharaan bersepadu kini semakin penting dalam membolehkan projek telekomunikasi berskala besar.

"Kerjasama ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyokong pelanggan dan rakan kongsi melalui struktur pembiayaan yang lebih cekap dan berskala,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap sambungan generasi baharu dan infrastruktur digital di seluruh ASEAN, kerjasama ini meletakkan CIMB dalam kedudukan untuk menyokong peluasan serantau ZTE melalui penyelesaian pembiayaan dan perbankan bersepadu.

"Dengan memanfaatkan kehadiran CIMB di ASEAN, kami berhasrat untuk memastikan pelaksanaan yang cekap sambil memperkukuh hubungan pelanggan melalui rangkaian keupayaan yang lebih luas," katanya.