Siakap Keli

(Video) Harimau Bintang ‘Terhutang Budi’ Dengan Monyet, Selamatkannya Dari Mati Lemas Di India

Seekor harimau bintang yang jatuh dalam sebuah perigi sedalam 7 meter berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, terima kasih kepada inisiatif yang diambil oleh sekumpulan monyet yang membuat ‘riuh’ sekali gus menarik perhatian penduduk tempatan untuk memeriksa apa yang berlaku.

Kumpulan monyet itu dilihat sedang melompat-lompat di gigi permukaan perigi dan membuat bising berhampiran sebuah kuil di Sikar, Rajasthan, awal Isnin lalu.

Pengunjung kuil tersebut yang hairan dengan kelakuan kumpulan monyet itu kemudian menghampiri perigi tersebut sebelum mendapati seekor harimau bintang terperangkap di dalam perigi tersebut.

Harimau bintang itu kemudian berjaya diselamat oleh pasukan penyelamat hutan dengan menggunakan tangga setelah dihubungi oleh pengunjung kuil tersebut.

Menurut penduduk kampung, usaha menyelamat harimau bintang tersebut mengambil masa setelah harimau bintang itu gagal dalam cubaannya beberapa kali untuk memanjat tangga tersebut.

”Kami dimaklumkan dengan kejadian tersebut sekitar jam 6 pagi sebelum satu pasukan dihantar dengan segera ke lokasi kejadian dan usaha untuk menyelamatkan haiwan malang itu mengambil masa beberapa jam,” kata Pegawai Pasukan Penyelamat Hutan, Ranger Devendra Singh Rathore.

”Ada kemungkinan bahawa harimau bintang tersebut mungkin terjatuh ke dalam perigi ketika berburu di malang hari. Kami berjaya menyelamatkan harimau bintang tersebut menggunakan tangga.

”Sebaik sahaja berjaya diselamatkan, harimau bintang tersebut terus melarikan diri ke kawasan hutan dan tidak menyerang mana-mana haiwan liar lain dan penduduk kampung,” katanya lagi.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=BjrqqtmYNDc]

 

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.