Siakap Keli

Kantoi Kencing Dalam Lif, Ibu Ini Beri Pengajaran Kepada Anaknya

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Xianyang, Wilayah Shaanxi, China, membuat permohonan maaf selepas ditangkap membuang air kecil dalam lif di sebuah bangunan kediaman, lapor Shanghaiist.

Sebagai hukuman, dia berjanji akan mencuci lif itu selama sebulan di bawah pengawasan bapanya.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu lalu, kanak-kanak terbabit masuk ke lif dan berdiri membelakangkan pintu sebelum membuang air kecil dalam lif tersebut.

Tindakannya itu menyebabkan penduduk di bangunan kediaman itu membuat aduan kerana seringkali terhidu dan ternampak air kencing di dalam lif selama dua minggu.

Pihak pengurusan bangunan itu kemudian menjalankan siasatan dan pemeriksaan pada video rakaman CCTV membuktikan kanak-kanak terbabit yang melakukan perbuatan menjijikkan itu.

Pemilik bangunan berkenaan cuba mengesan identiti suspek dengan mengedarkan gambar insiden itu kepada para penduduk dan tersebar secara meluas di media sosial.

Tidak berdiam diri, ibu kepada suspek menyedari insiden itu dan terus masuk ke group WeChat pengurusan kediaman berkenaan bagi mengetahui apa yang telah dilakukan oleh anaknya.

“Saya meminta maaf kepada semua kerana telah mengabaikan tanggungjawab saya. Walaupun kami mengingatkannnya setiap hari untuk menjaga kebersihan, dia masih tidak mendengar cakap kami. 

Selepas mengetahui apa yang berlaku, kami telah memarahinya akan tindakan tersebut. Dia sedar akan kesilapannya dan saya berharap anda semua dapat memaafkan dia. Dia juga berjanji mahu membersihkan lif itu sebagai hukuman di atas perbuatannya,” tulis ibunya.

Kanak-kanak itu juga menulis sekeping nota kepada para penduduk bangunan berkenaan.

“Saya telah membuang air kecil di dalam lif dan saya mahu memohon maaf kepada semua. Apa yang saya lakukan adalah tidak bertamadun. Ia boleh membahayakan orang ramai kerana boleh menyebabkan lif menjadi rosak.

“Saya perlu buang tabiat yang tidak baik ini, tidak buang air kecil dalam lif, membuang sampah atau merosakkan harta benda awam. Diharapkan anda semua memerhatikan saya dan memaafkan saya. Saya akan bersihkan lif selama sebulan sebagai balasan di atas perbuatan saya,” tulisnya.

Selepas membaca nota itu, ramai yang memuji keberanian kanak-kanak itu tampil mengakui kesalahannya.

“Adalah sesuatu yang normal apabila budak membuat silap, anda cuma perlu memperbetulkan dia sahaja,” kata tukang cuci di bangunan berkenaan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=2fGJh1NPuZM&w=533&h=300]

 

Sumber : NextShark

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.