Siakap Keli

Jamal Yunos Ditahan Polis Indonesia, Bakal Dihantar Pulang Untuk Didakwa

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang sebelum ini dipercayai melarikan diri ke Indonesia akhirnya berjaya ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada Isnin 6.15 petang.

Penahanan Jamal oleh POLRI disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Republik Indonesia khususnya POLRI atas bantuan mereka,” katanya yang turut memaklumkan bahawa PDRM telah dihubungi untuk menyelaraskan penghantaran pulang Jamal ke Malaysia.

Jamal yang didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam tahun lepas serta beberapa kes lagi termasuklah Seksyen 34 Akta Senjata 1960.

Jamal bagaimana pun menghilangkan diri selepas didakwa daripada Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei setelah dibawa untuk mendapatkan rawatan kerana mengadu tidak sihat.

Kehilangan Jamal disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin Jamal ketika itu, kira-kira 5.30 petang.

Peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin  dalam pada itu memberitahu media bahawa pihaknya masih menunggu maklumat lengkap berhubung penahanan anak guamnya.

“Setakat  malam ini tiada sebarang maklumat lengkap diperolehi berhubung penahanan beliau (Jamal), bagaimanapun kita sedia pergi ke Indonesia bagi memastikan proses membawa pulang Jamal berjalan lancar,” kata Mohd Imran yang pada masa yang sama turut berharap POLRI tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas Jamal.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.