Siakap Keli

Kami Tak Kisah Pun Suntik, Asalkan Cantik

 

Sumber : Google

PENGKAJI barat menyatakan dalam kajian mereka bahawa golongan lelaki dari pelbagai bangsa sebenarnya lebih tertarik kepada wanita yang berkulit cerah. Mereka mendapati bahawa kajian yang dijalankan menunjukkan golongan wanita berkulit cerah dikatakan sebagai pilihan yang lebih ideal. Hal ini demikian kerana warna kulit yang putih dikaitkan dengan kesucian, bersih, moden, rajin dan pelbagai lagi persepsi yang positif (1).

Kajian juga telah dilakukan di Malaysia menyimpulkan bahawa tiga suku lelaki di Malaysia menganggap pasangan mereka akan kelihatan lebih menarik  sekiranya mereka berkulit cerah. Mereka juga meletakkan standard kecantikkan mereka yang di sebut sebagai ‘Eurasian’ atau ‘Pan-Asia’.

Berikutan pelbagai persepsi positif yang dikaitkan dengan golongan berkulit putih, Asia juga tidak ketinggalan untuk menjadikan kulit cerah sebagai satu obsesi. Menurut kajian yang dijalankan mendapati 4 daripada 10 wanita Asia menggunakan krim pencerah. Kajian itu dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dalam tinjauan terhadap wanita di Hongkong, Malaysia, Filipina dan Korea Selatan (2).

Suntikan Kecantikkan

Akibat dari ke’obses’an mahukan kulit yang putih, pelbagai cara yang dilakukan untuk mencapai misi tersebut. Terbaru yang hangat diperkatakan adalah whitening drip. Namun lebih kerap disebut sebagai ‘cucuk vitamin C’. Suntikan ini dipercayai sebagai ‘vitamin C’ ini akan memberi kesan kepada pengguna seawal 24 jam. Whitening Drip ini menjadi kegilaan wanita yang obses dengan kecantikkan kerana dikatakan mampu memutih, menegangkan kulit, melambatkan penuaan dan pelbagai dakwaan lain.

Suntik didefinisikan sebagai memasukkan sesuatu cecair ke dalam badan dengan menggunakan jarum (3). Proses ini diekspresikan dengan beberapa langkah sama ada dilakukan sendiri atau di tempat yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Malah ada pakej suntikan yang ditawarkan serendah RM180.00 sahaja.

Sumber : Google

 

Sumber : Google

Suntikan pemutih ini menjadi tular pada tahun 2016 apabila banyak golongan selebriti yang dikatakan menggunakannya. Walaupun telah dinafikan oleh selebriti tersebut dengan mengatakan bahawa mereka putih kerana mengguna produk yang mereka jadi duta. Namun masyarakat tetap percaya yang mereka menggambil suntikkan pemutihan kerana perubahan yang begitu drastik.

Berikutan itu, msyarakat mula berasa teruja untuk mencuba sendiri keberkesanan suntikan tersebut. Tidak menghirau rasa sakit ketika disuntik, masyarakat rela demi untuk mendapatkan warna kulit impian (4). Keghairahan mereka untuk mencapai matlamat berkulit putih gebu menyebabkan ramai yang sanggup melakukan apa sahaja dan tidak lokek untuk menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan kesan yang lebih pantas.

Walaupun masih tidak pasti mengenai kesahihan kandungan sebenar suntikan yang dipercayai sebagai ‘vitamin C’ itu, dapat dilihat ramai yang mencubanya kerana mahu kesan pemutihan segera.

Vitamin C

Vitamin C sebenarnya terdapat dalam tumbuh-tumbuhan dan terutamanya dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berdaun atau dibuat secara sintetik juga digunakan dalam pencegahan dan rawatan skurviVitamin C juga dikenali sebagai asid askorbik digunakan sebagai antioksidan untuk makanan (5).

Vitamin C adalah konstituen kulit biasa yang boleh dijumpai di bahagian dermis dan epidermis(6). Kandungan vitamin C epidermis adalah lebih tinggi daripada dermis. Selain itu, vitamin C dalam kulit dipindahkan melalui aliran darah. Pengambilan suplemen oral dengan vitamin C berkesan meningkatkan tahap vitamin C dalam kulit (7)

Proses penuaan akan menyebabkan penurunan kandungan vitamin C dalam kedua-dua epidermis dan dermis. Apabila tahap plasma vitamin c menjadi tepu, kepekatan vitamin C kulit tidak lagi meningkat. Pendedahan yang berlebihan kepada cahaya UV atau pencemaran lain seperti asap rokok juga boleh menurunkan kandungan vitamin C, terutamanya dalam epidermis(8).

Sumber : Google

Sifat antioksidan vitamin C dan peranannya dalam sintesis kolagen menjadikannya sebagai molekul penting untuk kesihatan kulit. Asid askorbik mmepunyai kesan yang baik terhadap terhadap sel-sel kulit. Hal ini dibuktikan dalam beberapa kajian menunjukkan bahawa vitamin C boleh mencegah photodamage ultraviolet (UV). Vitamin C boleh diberikan kepada kulit melalui aplikasi topikal. Aplikasi topikal ini bermaksud perbuatan atau tindakan meletakan sesuatu ke atas permukaan kulit seperti menyapu krim atau apa sahaja yang berkaitan.

Tanpa jumlah vitamin C yang mencukupi, tubuh tidak akan dapat menyimpan dan membentuk kolagen dengan sempurna. Ini menjadikan vitamin C sebagai satu kewajipan kerana ianya dapat membantu tubuh mensintesis kolagen yang memberi faedah kepada kuku, rambut, kulit dan sebagainya.

Namun kaedah yang lebih efektif adalah dengan menyuntik terus vitamin C ke dalam saluran darah (Intravenous/IV). Tetapi tiada lagi kajian yang mengatakan kepekatan Vitamin C pada kulit menjadi lebih tinggi setelah pemberian suntikan Vitamin C. Ketidakpastian pada suntikan vitamin C serta kesan sampingan yang mungkin dihadapi membuatkan para pengkaji lebih menekan pemberian Vitamin C secara Oral berbanding dengan suntikan dan ini telah ianya terbukti secara klinikal (9).

(Krim Vitamin C) Sumber : Google

Bahan Lain Yang Kerap Disuntik ke Dalam Badan Untuk Putih

1) Tranxenamic

Untuk mendapatkan kesan pemutihan yang segera, ramai yang cuba menyuntik bahan yang dipercayai sebagai kollagen, antioxidant dan vitamin. Namun, sebenarnya terdapat bahan lain yang terkandung dalam suntikan tersebut antaranya adalah asid tranxenamic. Tranxenamic ini sebenarnya digunakan untuk merawat pendarahan semasa haid. Ianya mempunyai fungsi untuk melambatkan pembekuan darah. Selain itu, bahan ini bukanlah ubat untuk menghentikan terus kitaran haid malahan ianya juga bukan ubat untuk cegah kehamilan (10)

Khairul Yoi ada menerangkan dalam status yang dimuat naiknya bahawa tranxenamic ini selalu mempunyai bentuk seperti tablet. Ianya merupakan ubat berjadual yang ditetapkan oleh doktor. Bahan ini akan dilarutkan bersama glutathione dan vitamin c atau placenta (11). Tranxenamic tidak akan menyebabkan kulit menjadi putih malah ianya akan memberi kesan sampingan yang buruk.

(Tranxenamic) Sumber : Google

Antara kesan sampingan yang akan dialami adalah sakit sendi, kekejangan otot, pening kepala, hidung tersumbat, sakit perut dan lesu. Terdapat juga kesan jangka panjang yang serius dan memerlukan rawatan segera daripada doktor. Kesan tersebut adalah seperti ruam, alahan, sakit kaki, sakit dada , batuk berdarah, susah membuang air kecil, muntah dan masalah penglihatan (12)

2)  Gluthathione

Bahan seterusnya yang selalu disuntik ke dalam badan kerana dipercayai akan memutihkan kulit adalah gluthathione. Suntikan gluthathione merupakan salah satu bahan yang terkenal untuk memutihkan kulit di eropah yang dicanangkan oleh Doktor Naturopathy. Naturopati  merupakan kepercayaan bahawa badan boleh sembuh dengan sendirinya. Pengamal Naturopati percaya badan manusia itu mempunyai keupayaan untuk membaiki diri sendiri dan pulih daripada penyakit jika ia disokong oleh persekitaran yang sihat(13 ).

Gluthathione merupakan bahan yang dihasilkan secara semulajadi oleh hati manusia. Ia juga terdapat dalam buah-buahan, sayur dan daging (14). Bahan ini digunakan untuk merawat katarak dan glaukoma. Glaukoma merupakan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Saraf optik merupakan laluan yang membawa imej yang dilihat ke otak. Sekiranya tidak dirawat, ianya  boleh merosakkan saraf optik secara perlahan-lahan sehingga mengakibatkan kebutaan yang kekal (15).

(Gluthatione) Sumber : Google

Selain itu, gluthatione mempunyai banyak fungsi lain seperti mencegah penuaan, merawat, mencegah alkohol, asma, kanser, penyakit jantung, hepatitis, penyakit hati dan parkinson. Gluthatione juga digunakan untuk mengekalkan sistem pertahanan badan (sistem imun) dan merawat keracunan dadah (16).

Terdapat satu kajian mengatakan krim gluthathione yang telah dioksidakan mampu memutihkan kulit. Namun masih tidak diketahui lagi mekanisma pemutihan tersebut. Kebanyakkan kajian masih lagi gagal dalam membuktikan bahawa pengambilan gluthathione secara oral ataupun suntikan mampu memutihkan kulit.

Disebabkan banyaknya kesan sampingan yang dihadapi oleh mereka yang mengambil suntikan ini, maka pihak FDA Filipina telah mengharamkan penggunaan suntikan IV gluthathione. Bukan itu sahaja, tiada lagi kajian dibuat berkenaan keselamatan suntikan gluthathione (17).

3) Kolagen

Di samping itu, untuk putih dan gebu, suntikan kolagen juga turut digunakan. Kolagen adalah protein yang paling banyak terdapat di dalam tulang, otot, kulit dan tendon dalam tubuh manusia. Kolagen terbahagi kepada dua iaitu kolagen endogen dan kolagen eksogen. Kolagen endogen adalah jenis kolagen semulajadi, disintesis oleh badan manakala kolagen eksogen adalah sintetik. Ia datang dari sumber luar seperti makanan tambahan.

Kolagen endogen mempunyai beberapa fungsi penting seperti kerosakan, patah atau kekurangan yang berkaitan dengan masalah kesihatan. Manakala kolagen eksogen digunakan untuk tujuan perubatan dan kosmetik termasuk pembaikan tisu badan.

(Kedudukan Kolagen) Sumber : Google

Kolagen boleh ditemui di bahagian dermis atau lapisan tengah kulit. Kolagen membantu membentuk jaringan sel yang dipanggil sebagai fibrolast, di mana sel-sel baru boleh tumbuh. Ia juga memainkan peranan dalam mengganti dan memulih sel kulit mati.

Sesetangah kolagen bertindak sebagai pelindung kepada organ dalam badan seperti buah pinggang. Dengan peningkatan usia, badan akan kurang menghasilkan kolagen. Kulit juga akan membentuk kedutaan manakala tulang dan sendi akan menjadi lemah. Golongan wanita akan mengalami penurunan drastik dalam penghasilan kolagen selepas monopos (putus haid).

Kolagen merupakan sesuatu yang boleh menyerap. Ini bermakna ianya boleh dipecahkan, ditukar dan diserap semula ke dalam badan. Kolagen yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh berasal dari mnusia, lembu, babi, ikan atau biri-biri (18).

(Produk yang Menggunakan Kolagen Biri-biri) Sumber : Google

Dalam dunia kecantikkan, kolagen didakwa boleh membaiki kulit dan menghilangkan garis kedutan di muka. dikatakan mampu menyembuhkan luka dengan menarik sel kulit baru ke tempat yang terluka. Ia menggalakkan penyembuhan dan menyediakan platform untuk pertumbuhan tisu baru.

Banyak produk yang diasaskan termasuk krim atau serbuk dipercayai berfungsi untuk merevitalisasi kulit dengan meningkatkan tahap kolagen dalam badan. walau bagaimanapun, perkata itu tidak mungkin berlaku kerana molekul kolagen terlalu besar untuk diserap ke dalam kulit. Apa-apa kesan daripada produk ini mungkin akan kelembabkan kulit dan bukannya meningkatkan kolagen.

Dakwaan mengenai kolagen akan memberikan manfaat kepada kulit masih tidak mampu dibuktikan oleh pengkaji. Malahan terdapat kajian yang menjelaskan bahawa suntikan kolagen boleh menyebabkan masalah jantung. Ini disebabkan sel platlet memulakan pembekuan darah dan berakhir dengan masalah jantung dan pernafasan kerana saluran yang tersumbat dipenuhi darah (19).

Bahana Suntikan Haram

Menurut Doktor Rusyainie Ramli tiada satu suntikan kecantikan (vitamin C) pun yang diluluskan di Malaysia. Malah, doktor perubatan yang bertauliah dan berdaftar pun boleh ditarik lesen amalan kalau memberikan suntikan tersebut. Beliau menambah lagi bahawa tidak ada kajian satu klinikal yang menunjukkan suntikan vitamin C mampu memutihkan kulit. Walaupun vitamin C dicampur dengan gluthathione atau kolagen sekalipun, masih tiada bukti kukuh ianya mampu menjadi alat mencegah kedutan dan penuaan kulit.

Rusyainie kemudiannya mengatakan bahawa perbuatan tersebut akan mendatangkan kesan sampingan seperti alahan yang teruk. Keadaan tersebut dipanggil sebagai anafilaksis. Ianya merupakan keadaan di mana sistem imunisasi badan bertindak menghasilkan bahan-bahan kimia kompleks yang boleh menjadikan tekanan darah turun mendadak dan saluran udara jadi sempit yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Terdapat jugak kes yang berlaku menyebabkan bahagian badan sepeti mata, mulut, lidah bengkak manakala kulit menjadi merah seperti terkena gigitan serangga (20)

Sumber : Astro Awani

Tambah seorang lagi pengamal perubatan Rafidah Abdullah menjelaskan bahawa mereka telah dilatih untuk mengamalkan “universal precaution” iaitu cara yang  sangat bersih (steril) apabila mengendalikan prosedur tersebut. Beliau mengatakan bahawa prosedur yang dilakukan oleh orang tidak bertauliah sangat tidak bersih dan tidak selamat. Malah cara meletakkan plaster pun tidak mengikut cara yang betul. Hal ini berkemungkinan besar akan mengakibatkan jangkitan kuman.

Pada kebiasaanya, kuman Staphylococcal Aureus akan merebak dengan pantas ke seluruh badan termasuk otak. Ianya mampu menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri, sawan, koma malah maut. Selain itu, kuman tersebut akan menyebabkan kerosakkan buah pinggang dan hati.

Menurut Rafidah lagi, kuman boleh masuk ke dalam badan manusia dengan beberapa cara antaranya memasukkan cecair yang tidak diketahui bahan sebenarnya. Hal ini boleh terjadi sekiranya prosedur itu dilakukan oleh ‘doktor’ yang tidak bertauliah. Mereka tidak mempunyai prosedur dan langkah-langkah yang betul (SOP – standard operating procedure) perlu diikuti untuk mengelakkan kuman masuk.

Seterusnya adalah melalui tiub panjang yang mengandungi cecair tersebut membolehkan kuman hinggap di atasnya sebelum masuk ke badan. Kemudian, kuman juga boleh masuk melalui jarum yang dipanggil sebagai venflon atau venofix. Kuman akan masuk ke dalam badan sekiranya jarum tersebut tidak dicuci dengan betul, membuat suntikkan tanpa memakai sarung tangan dan sebagainya.

Rafidah menegaskan bahawa prosedur suntikan tersebut hanya boleh dilakukan di hospital, klinik dan premis yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah, orang yang akan memberi suntikan juga WAJIB mempunyai kelayakan dan sudah melalui proses kredentialing (21).

Sumber : Rafidah Abdulllah

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini, mereka menjelaskan bahawa suntikan kecantikan (vitamin C dan lain lain) sememangnya TIDAK DIBENARKAN untuk dijual di Malaysia. Setakat ini tiada produk vitamin C yang didaftarkan di Malaysia.

Hal ini oleh kerana pengguna yang mendapat perkhidmatan ‘haram’ ini terdedah kepada risiko kemudaratan kepada wajah dan tubuh badan. Pihak kementerian telah menasihati para pengguna berhati-hati ketika membeli produk atau mendapatkan rawatan kecantikan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan produk kosmetik atau pusat rawatan kecantikan yang menawarkan produk atau perkhidmatan yang mempunyai tuntutan melampau. Kebiasaannya bahan beracun ini tidak ditulis kandungannya pada label atau bungkusan untuk mengelirukan pengguna (22).

Rujukan

(1) Roger Dobson, 2008, Men, women & the secrets of skin colour, sumber dipetik daripada https://www.independent.co.uk/news/science/men-women-the-secrets-of-skin-colour-796610.html

(2) Roger. P. 2016, Yes, Asia is obsessed with white skin, sumber sipetik daripada http://business.inquirer.net/215898/yes-asia-is-obsessed-with-white-skin

(3) Kamus Pelajar Edisi Kedua (2015)

(4) Medical Mythbusters Malaysia, 2016, Dying to be Beautiful, sumber dipetik daripada https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1223820397708456

(5) Definition of Vitamin C, Sumber dipetik daripada https://www.merriam-webster.com/dictionary/vitamin%20C

(6) Medical Definition of Vitamin C, sumber dipetik daripada https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=12420

(7) Shindo Y, Witt E, Han D, Epstein W, Packer L. Enzymic and non-enzymic antioxidants in epidermis and dermis of human skin. J Invest Dermatol 1994;102:122-124.  (PubMed)

(8) Rhie G, Shin MH, Seo JY, et al. Aging- and photoaging-dependent changes of enzymic and nonenzymic antioxidants in the epidermis and dermis of human skin in vivo. J Invest Dermatol 2001;117:1212-1217.  (PubMed)

(9) Steiling H, Longet K, Moodycliffe A, et al. Sodium-dependent vitamin C transporter isoforms in skin: Distribution, kinetics, and effect of UVB-induced oxidative stress. Free Radic Biol Med 2007;43:752-762.  (PubMed)

(10) Sumber dipetik daripada https://www.webmd.com/drugs/2/drug-32677-1331/tranexamic-acid-oral/tranexamic-acid-650-milligram-tablet-oral/details

(11) Khairul Yoi, 2018, Sumber dipetik daripada https://www.facebook.com/kyoikhairullah/posts/581858058849778

(12) Rose Aniza, 2016, Tranxenamic Acid, Sumber dipetik daripada http://www.myhealth.gov.my/tranexamic-acid/

(13) Naturopathy, https://www.merriam-webster.com/dictionary/naturopathy

(14) Sumber dipetik daripada https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-717/glutathione

(15) Salmah Othman, 2013, Glaukoma, sumber dipetik daripada http://www.myhealth.gov.my/dewasa-glaukoma/

(16) Sumber dipetik daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27088927

(17) Sumber dipetik daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4207440/

(18) James McIntosh, 2017, Collagen: What is it and what are its uses, Sumber dipetik daripada https://www.medicalnewstoday.com/articles/262881.php

(19) Sumber dipetik daripada https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/1214324

(20) Rusyainie Ramli, 2018, Suntik Nak Cantik, Sumber dipetik daripada https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10215484795103650&id=1551720152

(21) Rafidah Abdullah, 2018, Mempetaruhkan Nyawa Semata Nak Putih gebu, Sumber dipetik daripada https://www.facebook.com/rafidah72/posts/10214215526755271

(22) Sumber dipetik daripada https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/%22awas-suntikan-vitamin-c-tak/10152257336476237/

 

 

 

 

 

 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.