Siakap Keli

Lelaki, Wanita Warga Emas Maut Kereta Dinaiki Langgar Treler

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) — Seorang lelaki dan wanita warga emas maut apabila kereta Perodua Axia dinaiki melanggar sebuah treler di KM121 Jalan Johor Bahru-Melaka di kawasan Tanjung Laboh, dekat Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian pada 6.30 pagi itu menyebabkan Lim Kew Kim, 72, dan Puah Poh Kim, 69, kedua-duanya dari Taman Bandar Banang Jaya, Batu Pahat, maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Lim yang memandu dari arah Tanjung Laboh menghala ke arah bandar Batu Pahat melanggar bahagian tengah treler yang sedang keluar simpang di bahagian kiri tempat kejadian.

“Akibat pelanggaran tersebut, Lim dan Puah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler yang berumur 49 tahun dan berasal dari Tanjung Karang, Selangor, tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Wahib berkata difahamkan kedua-dua mangsa bukan suami isteri dan mayat mereka yang dikeluarkan dari kenderaan oleh pihak bomba, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat.

Beliau berkata kemalangan berlaku ketika cuaca baik dan tempat kejadian merupakan jalan lurus dua lorong dua hala.

Katanya polis menahan pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu