Siakap Keli

SST Ditetapkan 6 Peratus Untuk Perkhidmatan, 10 Peratus Untuk Jualan

Peruntukan untuk perkhidmatan ditetapkan pada kadar enam peratus selepas pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat sekarang dan akan dilaksanakan pada September.

“SST akan diperkenalkan semula pada 1 Sept, dan menyumbang sasaran hasil sebanyak RM4 bilion,” katanya pada pelancaran Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata SST, serta peningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan akan menyumbang RM14.4 bilion tambahan hasil kepada kerajaan bagi mengimbangi kehilangan RM21 bilion hasil daripada kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai Jun tahun ini.

“Untuk memenuhi kekurangan GST, kementerian itu mengenal pasti langkah penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah itu termasuk mengurangkan dan memansuhkan program bertindih dan progarm bukan segera, dan membatalkan atau menangguhkan projek-projek mega dengan perbelanjaan besar.

Beliau berkata antara hasilnya ialah RM15 bilion, atau 47 peratus pengurangan kos akhir projek transit rail 3 (LRT 3) dengan membatalkan atau menangguhkan kedua-dua lebihan kapasiti dan ciri-ciri fizikal.

Lim berkata cukai, selain membiayai pembangunan dan pentadbiran negara, juga berfungsi untuk membetulkan ketidaksamaan ekonomi yang wujud dalam masyarakat dengan mengagihkan semula pendapatan.

Katanya walaupun tujuan percukaian masih sama dalam tempoh beberapa tahun, sumber dan kaedah pengumpulan dan cabaran yang berkaitan dengan pengumpulannya telah berubah.

“Sekarang lebih sukar untuk mendapatkan jumlah cukai yang tepat ekoran model perniagaan bukan tradisional dan bidang kuasa undang-undang yang tidak jelas meliputi pelbagai transaksi,” katanya.

Namun katanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) akan menggunakan pendekatan berasaskan peraturan dalam mengutip cukai dan menghentikan serbuan oleh pegawainya.

“Kini, LHDNM mematuhi peraturan undang-undang dengan menjalankan audit,” katanya.

Beliau berkata LHDNM mungkin mahu mengadakan perbincangan awal dengan pembayar cukai dan pengamal cukai mengenai isu-isu tertentu supaya sebarang pertikaian dapat diselesaikan tepat pada masanya tanpa menggunakan surat-menyurat kertas panjang dan rumit.

“Bukan sahaja perbincangan awal ini dapat menjimatkan masa, malah mereka juga akan menggalakkan ketelusan dan kerjasama yang lebih baik antara pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata LHDNM juga mesti mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan transformasi baharu perniagaan.

“Teknologi hari ini membolehkan kita untuk mengumpul data rutin menerusi fail cukai, bahkan memberikan kita peluang untuk memahami dengan baik dalam tingkah laku pembayar cukai dan berpotensi membentuk rejim percukaian yang lebih adil dan responsif,” katanya.

Lim juga berkata LHDNM perlu bekerjasama rapat dengan badan-badan antarabangsa untuk menangani isu percukaian antarabangsa, termasuk ekonomi digital, ekonomi perkongsian, mod transaksi baharu yang melibatkan mata wang maya serta menyimpan rekod perniagaan dan data kewangan di bilik data maya.

Beliau berkata syarikat multinasional yang beroperasi merentas pelbagai bidang telah memperoleh kelebihan ekonomi maksimum yang mungkin melalui perancangan cukai yang agresif.

“Pihak berkuasa cukai Malaysia mesti mengawasi sebarang kelemahan yang boleh dimanipulasi menerusi perancangan cukai global oleh syarikat multinasional ini,” katanya.

Untuk itu, beliau berkata Malaysia mempunyai komitmen yang berterusan sebagai ahli bersekutu Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Rangka Kerja Inklusif, yang disertainya pada Mac tahun lepas, sebagai sebahagian daripada usaha global untuk menangani isu-isu berkaitan hakisan asas dan peralihan keuntungan.

Beliau berkata Malaysia juga komited untuk melaksanakan Pertukaran Maklumat Automatik Akaun Kewangan menerusi Piawaian Laporan Bersama (CRS), dengan negara peserta bertukar maklumat tentang akaun kewangan bukan pemastautin.

Sehingga kini, beliau berkata 100 bidang kuasa bersetuju untuk bertukar maklumat CRS.

Sementara itu, mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Lim berkata kerajaan akan menghormati jadual pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM1.3 bilion kepada pelbagai pemiutang yang dijadualkan pada hujung tahun ini.

“Kami perlu mencari wang untuk membayar kerana kami tidak akan membenarkan Malaysia ingkar,” katanya.

Beliau berkata bayaran RM1.3 bilion itu adalah tambahan kepada RM7 bilion yang telah dibayar sehingga kini. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)