Siakap Keli

Model Catwalk Sambil Menyusu Anak Raih Perhatian Netizen

Rasa mustahil untuk ‘catwalk’ di atas pentas peragaan sambil menyusu anak anda? Tidak bagi supermodel ini.

Mara Martin telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengunjung dalam satu pertunjukan fesyen yang berlangsung di Miami apabila dia berjalan di atas pentas peragaan sambil menyusukan bayinya.

Dia  turut mengendong anaknya itu Aria yang berusia 5 bulan ketika pertunjukan baju renang tahunan Sports Illustrated pada Ahad lalu.

“Saya seperti tidak percaya kerana menjadi tajuk utama berita hanya kerana melakukan perkara yang saya buat setiap hari,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

 

Kebanyakan pengguna media sosial bagaimanapun memuji tindakan model itu yang dianggap memberi ‘inspirasi’ tetapi ada juga yang mendakwa dia sengaja mahu mencari perhatian.

Difahamkan, Martin adalah salah seorang daripada 16 finalis yang dipilih untuk menyertai acara itu.

Dia tampil di pentas dengan memakai bikini berwarna keemasan sambil menyusukan Aria pada masa sama.

Bayi perempuan itu turut dipakaikan fon kepala untuk melindunginya daripada bunyi bising muzik dan orang ramai.

“Cerita saya hanya menjadi seorang ibu, menyusukannya sambil bekerja (catwalk),” ujarnya selepas mendapat pelbagai respons.

Di laman instagramnya, Martin turut dihujani dengan pelbagai komen yang memberi sokongan atas tindakannya itu.

Sumber : Bbc

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.