Siakap Keli

Akibat Dendam, Pelajar Cuba Racun Satu Sekolah

Polis di daerah Deoria, India telah menahan seorang remaja perempuan selepas dia dituduh cuba mencampur racun dalam hidangan makan tengah hari di sekolahnya.

Dalam insiden di Kampung Baulia pada Selasa lalu, gadis berkenaan dipercayai bertindak sedemikian kerana mahu membalas dendam ke atas kematian adik lelakinya.

Pelajar di sekolah tersebut bagaimanapun bernasib baik apabila perbuatan gadis berkenaan disedari oleh tukang masak.

Difahamkan, tukang masak melihat remaja berkenaan masuk ke dapur. Dia kemudiannya mengikut remaja itu dan mendapati tangannya berbau. Kuih dal yang akan dihidangkan kepada semua pelajar juga dilapisi dengan lapisan putih.

Susulan itu, penduduk kampung yang berang bertindak mengepung sekolah itu dan turut membelasah ibu remaja terbabit, kata polis.

Motif utama remaja itu adalah untuk membunuh semua pelajar di sekolahnya kerana mahu membalas dendam di atas kematian adiknya yang dipukul sehingga mati oleh lima rakan sekelas pada 2 April lalu.

“Pihak sekolah telah memberitahu kami bahawa dia mahu membalas dendam untuk adiknya dengan membunuh semua pelajar di sekolah.

”Persediaan telah dibuat untuk menghantar remaja itu ke sekolah juvana,” kata penyiasat polis, Devendra Singh Yadav.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 328 IPC, cubaan mendatangkan kemudaratan menggunakan racun. Sampel makanan juga telah dihantar ke makmal untuk diuji.

Polis turut menahan ibu gadis berkenaan bagi membantu siasatan.

Sumber : Business Standard

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.