Siakap Keli
JOHOR BAHRU, 20 Julai -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung beramah mesra dengan peserta rally wanita Gina Finanza Daud,43, (dua, kanan) dan Izyan Zuhaily Zolkeple,20, sebelum melepaskan peserta International Rally of Johor 2018 di Padang D, Plaza Angsana, hari ini. Hadir sama Pengerusi International Rally of Johor, Datin Paduka Raja Nor Mazli Tun Raja Mohar (kiri). --fotoBERNAMA(2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ibu Dan Anak Kaki Rali, Kuasa Wanita Dalam Dunia Sukan Lasak Dikuasai Lelaki

Pepatah Melayu, kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi mungkin menjadi gambaran paling sesuai untuk meneritakan keserasian pasangan ibu dan anak ini yang sama-sama menyertai kejohanan International Rally of Johor (IRJ) 2018.

Gina Fiananza Daud, 43, yang mewakili pasukan One Motorsports Bagan Datuk Rally Team (BDRT), bukanlah nama asing dalam dunia perlumbaan rali, namun yang nyata dia tetap memberanikan diri menjadikannya anaknya, Izyan Zuhaily Zolkeple, 20, sebagai pemandu arah dalam kejohanan tersebut.

Menurut Gina, dia mempunyai sebab tersendiri memilih Izyan iaitu untuk melantik dan mendidiknya dalam sukan aktiviti lasak berkenaan untuk jangka masa panjang.

“Anak-anak saya sebenarnya memang sudah tahu selok belok sukan ini sebab saya sendiri yang ajak mereka untuk jadi kru, tolong-tolong apa yang patut.

“Cuma ini merupakan kali pertama saya beri dia (Izyan) peluang untuk menjadi pemandu arah saya supaya dia ada pengalaman, mana tahu suatu hari nanti saya pula duduk di kerusi pemandu arah ketika dia memandu,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Malah, dia yang sudah berpengalaman selama 10 tahun dalam dunia perlumbaan rali berharap agar Izyan dapat mempelajari ilmu yang dimilikinya secepat mungkin sebagai persediaan untuk dirinya menjadi pemandu rali suatu hari nanti.

Sementara itu, Izyan pula merasakan pengalaman pertama mengikuti ibunya berlumba merupakan satu perkara yang sangat-sangat dia nantikan kerana sekian lama memasang niat untuk menjadi pengganti kepada ibunya kelak.

“Perasaan memang berkobar-kobar ditambah lagi pemandu kenderaan ialah umi (ibu) sendiri tetapi saya sendiri pun sudah terbiasa dengan perlumbaan, bermula daripada go-kart, pergi ke ‘time-attack’ hinggalah hari ini ke rali,” katanya.

Menurut Izyan lagi, dia juga sudah mengikuti ibunya sejak berusia 10 tahun bermula sebagai penonton, sebelum menjadi kru dan hari ini menjadi sebgai pemandu arah.

Izyan yang baru selesai menduduki Sijit Tinggi Pengajian Malaysia berazam untuk menjadi pemandu arah selama tiga tahun, sebelum menempah nama sebagai pemandu rali.

Kejohanan selama tiga hari bermula Jumaat di Ladang Tai Tak, Kota Tinggi itu melibatkan penyertaan seramai 34 pelumba dari  Jepun, Indonesia, India, New Zealand dan Malaysia dengan perlumbaan sejauh 563 km.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.