Siakap Keli

(Video) Kenapa Daging Wagyu Terlalu Mahal, Apa Istimewanya Daging Ini?

Anda pasti pernah mendengar perkataan daging wagyu, ataupun pernah melihat iklan restoran-restoran yang menyediakan menu stik daripada daging wagyu. Paling tidak, jika anda cakna, baru-baru ini juga sempat viral menu hidangan di Parlimen berasaskan daging wagyu. Daging wagyu itu sendiri tiada msalah, sebaliknya yang disebut-sebut adalah harga bahan mentah tersebut, yang dikatakan boleh mencecah sehingga RM 2,000 sekilogram.

Persoalannya, mengapa harga daging wagyu mahal sangat? Apa istimewanya? Wagyu adalah mengenai rasanya yang dikatakan seolah-olah rasa mentega, lemak tinggi selain daging tersebut sangatlah lembut serta struktur dagingnya yang tersusun cantik.

Apakah Itu Wagyu?

Wagyu sebenarnya perkataan Jepun yang merujuk kepada daging lembu Jepun. Wa merujuk kepada Jepun dan Gyu pula merujuk kepada daging lembu itu sendiri.

Ketika ini, terdapat empat jenis baka yang digunakan untuk menghasilkan daging Wagyu. Baka-baka tersebut adalah Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled (kacukan dengan baka Aberdeen Angus).

Manakala penghasilan daging wagyu moden ketika ini biasanya menggunakan baka kacukan daripada baka asli dengan baka-baka import antaranya Brown Swiss, Devon, Simmental dan Korea.

Daging Wagyu yang paling mahal ketika ini adalah daging jenis Kobe yang diperoleh daripada lembu baka Tajima, yang hanya dibenarkan diternak di wilayah Hyogo sahaja.

Kenapa Wagyu Sangat Mahal?

Harganya yang diluar kemampuan kebanyakan rakyat marhaen ini adalah disebabkan cara lembu-lembu ini dibesarkan oleh penternak.

Di Jepun, bagi membolehkan sesuatu jenis daging tersebut diiktiraf sebagai daging wagyu, penternak-penternak perlu mematuhi beberapa peraturan ketat yang telah digariskan.

Lembu-lembu yang digunakan sebagai baka pembiakkan dan lembu-lembu bunting dibela di kawasan padang rumput khas manakala anak-anak lembu pula dibesarkan dengan teknik khas iaitu dimana anak-anak lembu wagyu ini diberi minum susu oleh penternak, berbanding menyusu daripada ibu lembu.

Malah untuk pengetahuan anda, anak-anak lembu ini diberikan selimut khas serta diberi pakai jaket ketika musim sejuk bagi mengelakkan kehidupan dan pembesaran anak-anak lembu tersebut terjejas.

Anak-anak lembu ini kekal di ladang-ladang pembiakkan selama 7 bulan sebelum di bawa ke tempat pembidaan untuk dijual kepada penternak-penternak yang berminat untuk membela lembu wagyu tersebut.

Selepas itu, penternak-penternak yang membeli baka lembu wagyu ini diwajibkan untuk membela lembu tersebut di dalam bangsarldan memberikan lembu-lembu  mereka nama, berbanding memberi tanda berbentuk nombor.

Lembu-lembu ini ketika dibangsal diberi makan dengan diet ketat antaranya jerami padi, silikat tanaman penuh atau pekat dan dibenarkan dibesar sehingga mencapai berat 700 kilogram, dalam tempoh tiga tahun, berbanding lembu biasa yang mengambil masa selama lima belas bulan sahaja.

Setiap anak lembu wagyu ini juga mempunyai sijil kelahiran yaang mengandungi maklumat-maklumat mengenai asal usul bakanya. Ini bermakna, setiap daging wagyu boleh dijejak kembali sehingga dimana asal-usul dan ladangnya diternak.

Terdapat juga dakwaan yang mengatakan bahawa lembu-lembu ini diberi minum minuman beralkohol dan diberi urutan khas, namun penternak-penternak di Jepun menafikan perkara tersebut. Bagaimanapun katanya, lembu-lembu wagyu tersebut kadang-kala digosok dengan bulu khas bagi membuatkan lembu-lembu tersebut tenang dan melancarkan aliran darah.

Namun, ladang-ladang wagyu di luar Jepun seperti di Britain mengakui bahawa lembu-lembu wagyu ternakan mereka diberikan minuman beralkohol serta lembu-lembu tersebut menerima rawatan urutan secara berkala.

Pengredan Daging Wagyu

Persatuan Pengredan Daging Jepun memberikan gred kepada daging lembu dengan gred A hingga gred C yang diukur berdasarkan tahap struktur daging (marble), keutuhan isi daging, warna dan kualiti keseluruhan daging tersebut dengan gred A5 adalah kualiti tertinggi.

Kebanyakkan daging wagyu yang berasal daripada ladang Jepun mempunyai kualiti A4 dan A5. Manakala daging-daging wagyu daripada ladang di luar Jepun biasanya hanya mempunyai kualiti 50 peratus sahaja daripada daging wagyu asli Jepun.

Jadi, anda dah tahu kan kenapa wagyu sangat mahal, anda sanggup tak berbelanja ribuan ringgit untuk merasai daging wagyu ini?

 

Sumber : Metro UK

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Satu komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.